» » PIBGN Desak SPAD Tetapkan Tambang Asas Bas Sekolah


Biarpun sesi persekolahan akan dibuka semula dalam tempoh kurang dua minggu sahaja lagi, kemelut mengenai kadar tambang bas sekolah yang baharu masih berlarutan sehingga hari ini.

Persekutuan Persatuan Bas Sekolah Malaysia (PPBSM) baru-baru ini menegaskan akan berlaku kenaikan sebanyak 30 hingga 50 peratus berikutan peningkatan pelbagai kos yang perlu ditanggung pengusaha bas.

Manakala, SPAD pada Oktober lalu tetap bertegas bahawa suruhanjaya itu tiada rancangan untuk memperkenalkan harga tambang asas atau harga siling.

Malah, menurut suruhanjaya itu, kaedah terbaik adalah pengusaha bas perlu meyakinkan ibu bapa bahawa kadar tambang yang mereka kenakan adalah munasabah.

Mengulas perkara itu, Presiden Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Profesor Madya Datuk Mohamad Ali Hassan mendesak kedua-dua pihak bertanggungjawab itu supaya menyelesaikan kemelut tersebut dengan kadar segera.

"SPAD dan PPBSM wajib duduk berbincang bagi mencari penyelesaian terbaik untuk menamatkan isu ini dengan segera," katanya kepada mStar Online.

Beliau berkata, kegagalan berbuat demikian hanya akan memberi implikasi besar kepada ibu bapa yang pastinya terbeban dengan kenaikan tambang bas tersebut.

Jelasnya, SPAD sebagai sebuah suruhanjaya yang bertanggungjawab mengawal atur pengangkutan awam darat, perlu menetapkan kadar tambang asas bas sekolah
yang munasabah sebagai rujukan kepada pengusaha bas bagi mengelakkan kenaikan secara mendadak.

Mohamad Ali berkata, penetapan tambang asas juga dapat mengelak mana-mana pengusaha bas daripada mengaut keuntungan secara berlebihan.

"Kita tidak mahu pengusaha bas menggunakan kelonggaran yang diberikan SPAD untuk menentukan kadar tambang sesuka hati. Oleh itu, perlu ada kadar tambang asas dalam mencapai kadar tambang yang munasabah," katanya.

Ketika ditanya mengenai dakwaan PPBSM bahawa akan ada kenaikan sehingga 50 peratus, Mohamad Ali menyifatkan ia satu kenaikan yang tinggi dan tidak
wajar untuk dilaksanakan.

"Jumlah itu sangat tinggi. Saya rasa ia tidak patut dilaksanakan kerana akan membebankan ibu bapa yang sudahpun terbeban dengan kos sara hidup yang semakin
meningkat," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, SPAD dan PPBSM sepatutnya mengadakan sesi dialog bersama ibu bapa untuk mendengar luahan mereka dari hati ke hati.

"Ini masalah negara... perlu ada perbincangan dari hati ke hati, bukan dengan memaksa ibu bapa supaya bersetuju dengan tambang yang dikenakan," katanya.

Sementara itu, Mohamad Ali turut mencadangkan agar setiap sekolah melantik syarikat bas sekolah tertentu yang dipersetujui oleh PIBG seperti yang
dilaksanakan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan sekolah berasrama penuh sebelum ini.

Katanya, dengan kaedah ini pengusaha bas tidak akan mengenakan kadar tambang yang melampau dan kadar yang dikenakan juga munasabah.

"Kaedah ini juga saya rasa berkesan dalam memerangi budaya kartel di kalangan pengusaha bas sekolah," katanya.

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .