» » Kementerian potong dana pusat bantu kanak-kanak jalanan


Organisasi bukan kerajaan (NGO) kedua yang memberi perkhidmatan kepada kanak-kanak dan belia berisiko di salah satu kawasan suram Kuala Lumpur, akan berdepan kekurangan dana daripada kerajaan bermula bulan depan, nasib serupa dengan satu lagi pusat kebajikan untuk orang miskin bandar dan komuniti transgender.

Aktivis hak kanak-kanak Dr Hartini Zainuddin mendedahkan Kementerian Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat memutuskan untuk berhenti memberi dana kepada KL Krash Pad, pusat untuk belia jalanan, bermula Januari 2015.

KL Krash Pad adalah pusat di bawah Yayasan Chow Kit yang dinaungi Hartini, dan dilancarkan kementerian itu pada 2010.

“Kementerian memotong dana KL Krash Pad, mereka potong semuanya, mereka terpaksa menghentikan duit untuk kumpulan terpinggir di Chow Kit.

“Apa yang saya tahu, dia (menteri) memotong dana untuk semua organisasi bukan kerajaan (NGO) yang bekerja dengan kumpulan terpinggir di Chow Kit,” katanya kepada The Malaysian Insider dalam satu temubual, merujuk kepada Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat Datuk Rohani Abdul Karim.

Bertempat di kawasan Chow Kit, KL Krash Pad bertindak sebagai rumah kedua dan tempat perlindungan untuk remaja bermasalah di jalanan. Golongan belia yang datang ke pusat itu berisiko terjebak dengan keganasan jalanan, jenayah, salah guna dadah dan jangkitan HIV.

Hartini juga membangkitkan perbezaan cara kementerian itu mengendalikan NGO bekerja di Chow Kit di bawah Rohani dan bekas menteri Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

“Saya tidak suka. Jujurnya, saya sangat sedih, mereka tidak lihat kanak-kanak terpinggir, mereka langsung tidak bercakap dengan kami mengenai perkara itu, mereka hanya potong. Sekurang-kurangnya bincanglah dengan kami.

“Mereka hantar surat kepada kami dan hanya tulis, maaf kami menghentikan dana anda.

“Datuk Shahrizat sangat memberi sokongan kepada kanak-kanak ini, kerana dia faham kesan tidak memberi pendidikan dan tempat berlindung untuk kanak-kanak seperti ini akan menyebabkan keadaan lebih teruk,” katanya.

Pengurus KL Krash Pad M Pusenthi P Maniam berkata, pada awalnya kementerian meminta pihaknya menghantar kertas cadangan untuk memberi alasan kuat penyambungan dana bagi tiga tahun lagi, tetapi ia ditolak.

“Mereka minta kami hantar kertas cadangan, dan kami hantar untuk menyambung lagi dana, tetapi kementerian berkata mereka hanya akan memberi dana sehingga Disember,” katanya.

Pusenthi berkata kebanyakan daripada RM300,000 yang diterima setiap tahun daripada kementerian digunakan untuk membiayai operasi badan itu, termasuk gaji kakitangan, sementara program untuk belia ditaja syarikat korporat menerusi bajet tanggungjawab sosial.

Aktiviti di pusat itu direka untuk memotivasi, memberi inspirasi dan membabitkan belia dalam melahirkan kreativiti selain mengajar mereka kemahiran diri.

KL Krash Pad juga menyediakan kursus “balik ke sekolah”, disasarkan kepada remaja yang berhenti sekolah untuk membantu menghabiskan persekolahan dan menduduki peperiksaan tingkatan lima mereka, iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang setaraf dengan O-Level.

Pusenthi berkata beliau memaklumkan kepada kementerian itu betapa KL Krash Pad sangat bergantung kepada pembiayaan kerajaan. Kira-kira 40 hingga 50 remaja menyertai program di pusat itu.

“Saya beritahu kementerian, kerana dana mereka, ramai remaja kini menjalani hidup lebih baik, ada antara mereka melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan,” katanya.

KL Krash Pad kini senasib dengan Pusat Bantuan Khidmat Sosial (PBKS), satu lagi kumpulan kebajikan beroperasi di kawasan Chow Kit.

PBKS dijalankan oleh Pertubuhan Pembangunan Kebajikan dan Persekitaran Positif (SEED), yang menerima dana RM700,000 setahun, juga akan dihentikan bermula tahun depan.

PBKS dibuka pada 2007 oleh kementerian, dan langkah terbaru pemberhentian dana dilaporkan berkait dengan pembabitan badan itu dengan komuniti transgender. Pelanggan berdaftarnya ialah 1,345 transgender, 2,664 wanita dan 5,793 individu dengan HIV/AIDS.

Bagaimanapun, untuk KL Krash Pad, masih ada peluang dana itu diperbaharui, dengan syarat Pusenthi boleh mengemukakan kertas cadangan yang meyakinkan.

“Mereka minta saya siapkan kertas cadangan baru untuk tahun depan sebelum pertengahan Januari untuk menyatakan mengapa kami perlukan dana itu, jadi ia peluang 50-50% sama ada kami akan dapat atau tidak,” katanya.

Apa pun juga keputusannya, Hartini berkata beliau tidak akan membiarkan kekangan itu menghentikan perlindungan kepada kanak-kanak terpinggir di kawasan itu.

“Mereka fikir jika mereka potong dana, kami akan mati dan pergi. Tetapi kami akan bertahan, kami akan cari jalan menyelesaikannya,” katanya.

Hartini berkata kementerian perlu bekerja dengan NGO dalam masyarakat untuk memahami punca sebenar masalah sosial masyarakat bandar.

sumber

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .