» » Kaji Semula Jumlah Bantuan JKM Untuk Pekerja OKU


Kerajaan diminta mengkaji semula kadar pendapatan Orang Kelainan Upaya (OKU) yang berkerja dengan mengambil kira faktor kos sara hidup dalam menentukan kelayakan menerima Skim Bantuan Kewangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Berdasarkan tinjauan yang dilakukan oleh mStar Online, rata-rata berpendapat syarat ketika ini yang menetapkan kadar pendapatan lebih RM1,200 sebulan yang tidak melayakkan seseorang OKU berkerja itu menerima bantuan JKM tidak lagi munasabah.

Pada masa ini, menerusi Elaun Pekerja Cacat (EPC) mengikut skim berkenaan, ditetapkan hanya mereka yang berpendapatan kurang RM1,200 sahaja yang layak menerima elaun kerajaan sebanyak RM300 dan jumlah itu akan dinaikkan kepada RM350 seperti mana yang diumumkan menerusi pembentangan Bajet 2015.

"Kadar RM1,200 itu boleh dianggap terlalu rendah kerana kos sara hidup sekarang semakin meningkat. Kalau saya yang bukan OKU pun terasa kesannya, golongan OKU apatah lagi.

"Saya cadangkan agar kadar tersebut dinaikkan kepada RM1,500 hingga RM1,800, barulah mereka 'selesa' sikit kalau tak diberi bantuan atau elaun sekali pun," kata Izwan, yang bertugas sebagai guru di Johor.

Pandangan ini diberikan selepas pendedahan mStar Online bahawa sebahagian OKU yang buta dan menjadikan kerja menjual tisu sebagai pekerjaan dipercayai memperoleh pendapatan melebihi RM2,500 sebulan dan masih menerima EPC.

Angka itu merupakan pendapatan bersih selepas ditolak sejumlah wang yang dibayar kepada pengiring mereka dan adakalanya, pemandu yang diupah.

Malah, 'gaji' penjual tisu juga dikatakan menjadi antara gaji paling tinggi berbanding gaji OKU lain yang menjadi kerani, membuat bakul, tukang urut dan sebagainya.

JKM dalam temu bual bersama portal berita ini turut meminta OKU berkenaan supaya tampil bagi menamatkan bantuan EPC kerana tidak lagi layak, bagi membolehkan rakan senasib yang berpendapatan kurang RM1,200 mendapat bantuan kewangan itu.

Jika syarat yang ditetapkan untuk penerima EPC itu dikuatkuasakan, pastinya ramai yang tidak lagi layak menerima EPC, sekali gus akan menambah beban golongan istimewa ini.

Fina, 30, yang berkerja di sebuah syarikat telekomunikasi berkata, apa yang disalurkan kerajaan kepada OKU adalah sekadar bantuan untuk meringankan beban, justeru golongan yang berpendapatan tetap dan lumayan setiap bulan tidak patut bergantung kepada bantuan itu sepenuhnya.

Katanya, adalah lebih baik jika peruntukan kerajaan itu disalurkan kepada OKU lain atau golongan lain yang berpendapatan rendah dan lebih memerlukan bantuan.

Lebih baik duit bantuan itu diberi kepada orang miskin, OKU lain atau orang sakit yang langsung tak mampu berkerja.

"Dalam hal ini saya rasa perlu ada kajian dan penilaian semula. Kerajaan perlu siasat betul-betul latar belakang penerima bantuan dan lebih penting orang yang layak terima bantuan mendapat kadar bantuan sewajarnya serta tak tercicir," katanya.

Sementara itu, Farah Jamil, 28, yang merupakan seorang jurutera di sebuah syarikat di Kuala Lumpur menganggap orang buta yang memilih untuk menjual tisu sebagai 'bijak mengambil peluang' terhadap masyarakat Malaysia yang prihatin dan bermurah hati.

"Apa yang dilakukan mereka itu pun dianggap satu pekerjaan, bukan mengemis, jadi kita tak boleh salahkan mereka.

"Mereka bijak dan ini jelas menguntungkan kerana mereka pandai mengambil peluang terhadap rakyat Malaysia yang memang suka memberikan derma ikhlas.

"Tetapi agak tak adil kerana kerja itu mudah, berbanding rakan-rakan senasib yang mungkin mendapat gaji yang lebih rendah daripada mereka tetapi kerja mereka lebih susah berbanding jual tisu," katanya.

Shana Abd Halim, 28, berkata, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menjaga kebajikan golongan OKU dan kurang bernasib baik di negara ini.

Justeru katanya, menarik balik bantuan untuk OKU yang didapati berpendapatan tinggi bukanlah satu keputusan yang tepat.

"Banyak yang perlu diberi pertimbangan. Ada ramai sebenarnya golongan OKU dan orang yang perlu diberikan bantuan serta dijaga kebajikan mereka di negara kita.

"Masalah mereka semakin hari semakin kompleks dan pelbagai.

"Jika selama ini hal-hal berkaitan OKU diletakkan di bawah JKM, saya rasa sudah tiba masanya kerajaan mewujudkan satu jabatan khas yang bertanggungjawab sepenuhnya terhadap masalah dan isu-isu berkaitan OKU," katanya.

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .