» » 'Gitar haram tapi "rasuah OK!"'


Pada sebuah forum yang diadakan di Kuala Lumpur semalam, seorang pendakwah bebas membangkitkan tentang haramnya bermain alat muzik bertali seperti gitar.

Katanya alat muzik seperti gitar mengheret umat Islam ke arah meniru budaya Barat yang tidak bercirikan agama selain daripada melalaikan sehingga menyebabkan seseorang itu meninggalkan ibadah.

Kita seringkali mendengar pendakwah berbicara soal halal dan haram seperti ini.

Mungkin pada pandangan mereka, Islam itu hanya terbatas kepada soal halal dan haram saja.

Akan tetapi, jarang sekali pendakwah seperti ini berbicara tentang haramnya sesuatu yang memberikan kesan lebih besar kepada negara dan masyarakat seperti rasuah.

Mengapa pendakwah yang suka mengharamkan itu dan ini tidak berkempen untuk memerangi rasuah secara besar-besaran sehingga umat Islam jijik terhadapnya seperti memakan babi?

Apakah mereka takut untuk mengguris hati pembesar yang terlibat dengan rasuah?

Apakah mereka takut tidak diundang lagi berceramah sekali gus akan menjejaskan pendapatan mereka?

Hari ini di Malaysia, keharmonian negara tercabar apabila begitu ramai sekali yang mula menyemai kebencian kaum dan agama.

Malaysia yang terkenal kerana aman dan damai walaupun mempunyai pelbagai kaum dan agama sudah mula hilang serinya apabila puak pelampau seperti ini dibiarkan berleluasa.

Yang lebih menyedihkan lagi puak pelampau seperti ini mengatakan mereka mewakili Islam dan apa yang mereka lakukan merupakan tuntutan agama.

Mana pergi suara pendakwah Islam untuk menghentikannya? Atau apakah ini sememangnya ajaran Islam?

Cabaran peningkatan kos kehidupan


Realitinya hari ini, cabaran terbesar rakyat Malaysia adalah peningkatan kos kehidupan yang begitu tinggi dan tidak selari dengan pendapatan mereka.

Apa pun di luar sana semuanya mahal sekarang.

Pergilah ke pasar untuk membeli barang keperluan dan lihatlah apa yang boleh dibeli dengan RM50 sekarang.

Bandingkan dengan barang yang boleh dibeli dengan RM50 enam bulan lalu. Banyak tak beza?

Tahun 2015 akan lebih mencabar buat Malaysia.

Rakyat perlu menyesuaikan diri dengan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang akan mula dilaksanakan.

Sistem percukaian baharu ini sudah tentu akan menimbulkan masalah dan sudah pasti ramai peniaga yang akan mengambil kesempatan membuat keuntungan mudah.

Semuanya akan menggunakan alasan GST sebagai punca jika pengguna mengadu harga sesuatu barang atau perkhidmatan mahal.

Menteri-menteri kata tiada masalah. Tapi apa yang mereka tahu kalau pergi ke pasar pun tak pernah?

Sekali lagi dalam isu seperti ini, tidak kedengaran suara pendakwah Islam memberikan jalan penyelesaian.

Tidak hairanlah mengapa semakin ramai yang menjauhi pendakwah Islam seperti ini.

Tidak terlihat relevannya mereka dan seringkali menimbulkan isu remeh yang sebenarnya bukanlah masalah utama kepada masyarakat.

Jika gitar perlu diharamkan kerana meniru budaya Barat dan melalaikan, banyak lagi yang perlu diharamkan seperti kereta, motosikal, komputer, Internet, telefon dan telefon pintar.

Semuanya berasal dari Barat dan boleh melalaikan umat Islam.

Selepas ini umat Islam di Malaysia boleh mula menggunakan unta untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat.

Selepas telefon diharamkan, kita boleh menggunakan burung merpati untuk menghantar surat sebagai cara berkomunikasi.

Dengan cara ini, dapatlah kita membebaskan diri daripada pengaruh Barat yang melalaikan itu dan mungkin akan menyebabkan Malaysia lebih maju.

sumber

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .