Rakyat tempatan seharusnya menguruskan dan mengetuai hal ehwal negara, bukan seorang warga asing yang tidak diyakini boleh memenuhi aspirasi korporat syarikat penerbangan negara, kata Pertubuhan Sukarelawan Peguam Malaysia (SukaGuam).
Pengerusinya, Datuk Khairul Anwar Rahmat berkata beliau rasa kurang selesa apabila kerajaan melantik Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Aer Lingus Christoph R Mueller, sebagai CEO baharu Malaysia Airlines (MAS).
"MAS bukanlah sebuah syarikat penerbangan komersial biasa, lebih daripada itu, MAS adalah ‘syarikat penerbangan negara’.
"Operasi harian MAS termasuk dalam sektor strategik terpenting Malaysia kerana membabitkan soal maruah dan keselamatan negara," katanya dalam satu kenyataan.
Sebagai perbandingan, kata Khairul, rakyat juga tidak akan bersetuju jika kerajaan melantik warganegara asing mengetuai ‘syarikat perumahan negara’ atau mana-mana syarikat yang berstatus ‘negara’.
"Biarlah rakyat Malaysia sendiri yang menguruskan sendiri hal ehwal ‘negara’ kita ini. Kita sewajarnya mempercayai bakat rakyat Malaysia sendiri kerana sudah pun menyediakan sistem pendidikan, latihan dan pendedahan yang terbaik di rantau ini.
"Anak tempatan kita bukan calang-calang orang, malah ramai yang diakui kehebatannya di seluruh dunia," katanya.
Khairul berkata tindakan mengganti kepimpinan MAS dengan CEO warganegara asing bukan satu penyelesaian jangka panjang yang terbaik.
Sebaliknya, beliau menggesa pihak berkenaan mengkaji semula rantaian perniagaan MAS, daripada pembekalan keperluan, peralatan dan kelengkapan yang mungkin ada kebocoran.
"Ini termasuk hidangan arak yang langsung tidak ada keberkatan," katanya.
Katanya, rakyat Malaysia mahu MAS mementingkan strategi korporat yang termaju dan tertib, kepimpinan korporat berteraskan integriti, daya juang dan semangat cintakan negara yang tinggi serta kepatuhan kepada amalan syariah.
"Seorang CEO warganegara asing tidak diyakini boleh memenuhi aspirasi ini,” katanya.
Pada Jumaat, Khazanah Nasional Berhad menamatkan spekulasi apabila mengumumkan Mueller sebagai bos baru Malaysia Airlines Berhad (MAS NewCo), di bawah pelan pemulihan syarikat itu.
Beliau dilantik sebagai pengarah bukan eksekutif MAS dan dipilih sebagai CEO MAS NewCo. Pelantikannya berkuatkuasa 1 Januari, 2015.
sumber
No comments: