Gerakan Turun Kos Sara Hidup (Turun) merancang satu lagi bantahan besar-besaran di Dataran Merdeka pada ambang sambutan tahun baharu bagi membantah kenaikan kos sara hidup yang memberi kesan kepada rakyat.
Gerakan itu yang sedang dalam siri jelajahnya akan kali ini menghimpunkan sokongan dari Negri Sembilan, Melaka dan Kuala Lumpur menguatkan momentum sokongan menarik minat rakyat.
Pengerusi Turun, Mohd Azan Safar berkata Putrajaya perlu sedar apa yang berlaku sekarang di mana taraf hidup rakyat tidak meningkat walaupun bantuan dihulurkan kerajaan.
“Dapat kita lihat gaji tidak dinaikkan walaupun harga barang mencatatkan peningkatan. Walaupun kerajaan berkata rasionalisasi subsidi disalurkan untuk meningkatkan mutu pengangkutan awam tetapi perkhidmatannya masih berada di tahap tidak memuaskan,” katanya.
“Momentum untuk menyebarkan kesedaran perlu diteruskan. Kami sedang mencari cara yang lebih kreatif menyatakan pendirian kami.”
Merujuk bantahan pro-demokrasi di Hong Kong dan demonstrasi kehilangan 43 pelajar di Mexico, Azan berkata penganjur di kedua-dua negara menggunakan pendekatan berbeza bagi menarik orang ramai hadir menyertai demonstrasi.
"Mereka menggunakan seni untuk menyatukan rakyat dengan pelbagai latar belakang terutamanya anak muda untuk turut serta. Kami mengkaji idea ini.
"Keputusan belum dibuat tentang apa yang akan dilakukan pada sambutan tahun baharu tetapi ia sesuatu yang baharu dan berbeza," katanya yang mendakwa kerajaan bersikap tidak bertanggungjawab apabila memansuhkan subsidi.
"Ke mana perginya duit rakyat yang dikutip berdasarkan pelbagai dasar yang dijalankan?
"Kerajaan menurunkan harga petrol membuat rakyat berfikir ia mungkin tekanan berterusan daripada rakyat tetapi tidak. Kerajaan mengambil peluang kejatuhan harga minyak dunia dengan menurunkan harga minyak negara," katanya.
"Harga turun, petrol juga turun. Bagaimana jika harga minyak melambung tinggi? Kitalah yang akan terbeban kemudian."
Azan pernah ditahan pada 23 Disember kerana menganjurkan bantahan di Dataran Merdeka namun katanya itu tidak menghalangnya untuk mengulangi himpunan berkenaan.
"Saya menjuarai isu yang memberi kesan kepada rakyat. Rakyat perlu dididik apa sebenarnya yang berlaku kerana akhirnya mereka yang akan menderita," katanya.
Dia berharap lebih ramai akan sedar situasi semasa dan tidak putus asa memastikan suara terus didengar.
"Kali pertama kita menganjurkan bantahan, banyak isu yang berbangkit pada satu-satu masa. Ramai yang hilang fokus dan akhirnya harapan terkubur," katanya.
Azan berkata kira-kira 10,000 hadirin dijangka menyertai bantahan itu hampir sama dengan jumlah yang hadir pada tahun lalu.
Ditanya kemungkinan bekerjasama dengan Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli yang turut mahu mengadakan bantahan kenaikan harga minyak, Azan berkata perkara itu tidak menjadi masalah.
"Kami menjuarai isu sama," katanya.
sumber
No comments: