Dengan pertambahan keahlian seramai 390,000 tahun ini, Puteri Umno percaya nasib bersama mereka meskipun berita tiga wanita Melayu menyertai DAP menarik perhatian ramai pihak.
Jumlah itu melebihi keahlian DAP di seluruh negara yang hanya kira-kira kurang 200,000 orang.
Sehubungan itu pemimpin Puteri Umno seperti ketua penerangannya Haryaty Hamdzah tidak yakin Umno kehilangan undi wanita Melayu.
Ketika perhimpunan agung tahunan ke-14 pergerakan sayap Umno itu minggu depan, mereka bakal menunjukkan mereka mampu menawan hati dan minda kumpulan demografi penting itu, yang dijangka bakal berkembang untuk tahun-tahun mendatang.
Pengundi wanita gemarkan Umno
Sebelum apa yang berlaku kepada ahli wanita Melayu DAP, Dyana Sofea Mohd Daud, Syefura Othman dan Jamilah Rahim, aktivis Puteri Umno adalah sasaran kempen berniat jahat setiap kali berlakunya pilihan raya kecil.
Serangan bertalu-talu pemimpin pembangkang kepada mereka menunjukkan betapa pentingnya pergerakan itu meraih sokongan pengundi Melayu di luar bandar dan separa bandar.
Antara program yang menjadi kegemaran adalah "Anak Angkat", yang mana ahli pergerakan itu akan menginap di kediaman keluarga di kawasan terbabit ketika pilihan raya dan menyebarkan mesej Barisan Nasional (BN) kepada keluarga berkenaan dan jiran tetangga mereka.
Puteri Umno mempunyai keahlian di semua Bahagian Umno di seluruh negara.
Punca menjadikan mengapa Puteri Umno diterima adalah kerana mereka bergerak seperti badan bukan kerajaan (NGO) berbanding parti politik.
Mereka mengelak daripada menggunakan retorik politik untuk program kebajikan, sebaliknya bukan saja melakukan lawatan terhadap orang miskin dan warga emas yang sakit, tetapi turut mendaftarkan mereka dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Keputusan pilihan raya menjadi bukti. Merdeka Center berkata, pengundi wanita Melayu muda atau tua, lebih mudah memilih Umno berbanding lelaki Melayu.
Pada pilihan raya umum lalu, secara keseluruhannya, Umno menerima sokongan 54% sokongan pengundi Melayu.
Trend itu dapat dilihat dengan jelas di kawasan luar bandar, lokasi di mana aktivis wanita Umno menjadi pembentuk pemikiran, kata Pengarah Merdeka Center Ibrahim Suffian.
"Malah di negeri maju seperti Selangor, wanita Melayu memilih Umno dalam pilihan raya lepas.
“Gerak kerja akar umbi wanita Umno sangat berkesan dan bertahan lama," kata Ibrahim.
Kestabilan berbanding publisiti
Namun terdapat trend meningkat pengundi wanita Melayu muda yang tidak termakan dengan naratif Umno nasib mereka bergantung kepada parti Melayu itu.
"Mereka merasakan pemimpin boleh diubah," kata bekas Ketua Puteri Umno Datuk Seri Azalina Othman Said.
"Selagi boleh memimpin, tidak kira lelaki atau perempuan, Melayu atau bukan Melayu.
"Mungkin bagi mereka, sesiapa boleh memimpin, tidak semestinya dari Melayu untuk Melayu," katanya, ketika ditanya sama ada Umno khuatir dengan trend yang dimulakan tiga wanita Melayu DAP itu.
Penolong Setiausaha Wanita Umno Datuk Rosni Sohar bagaimanapun merasakan tindakan tiga wanita DAP itu tidak begitu memberikan kesan kepada sokongan Umno.
"Di dalam Umno, kami tidak amalkan budaya pemimpin mi segera," katanya, merujuk kepada tindakan DAP memilih Dyana Sofea sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan meskipun masih baru.
Bagi pemimpin Puteri Umno Haryaty, sama ada trend ini akan mengurangkan sokongan mereka atau tidak bukanlah sesuatu yang akan merunsingkan mereka.
Sayap itu yakin dengan pendekatan perkhidmatan mereka dan perhimpunan pada 26 November depan akan menyaksikan ianya diteruskan, kata Haryaty.
Berbanding berbicara soal isu panas seperti sekolah vernakular dan Akta Hasutan yang menarik banyak perhatian, Puteri Umno akan memberikan penekanan kepada isu pekerjaan golongan belia.
"Ini adalah subjek utama yang sering dibangkitkan dalam pertemuan kami dengan wanita muda. Lebih-lebih lagi prospek pekerjaan, pendapatan, kos sara hidup.
"Masalah ini yang merunsingkan mereka selepas tamat pengajian di universiti atau sekolah dan apa yang kami boleh membantu mereka,” katanya.
Ia sememangnya tidak menyeronokkan, namun berpotensi mendapatkan undi. Kajian Merdeka Center menunjukkan pengundi muda amat khuatir dengan isu berkenaan.
Dan apabila bercakap soal wanita Melayu, mereka akan mengundi berdasarkan persepsi parti politik yang berkemampuan memberikan kestabilan ekonomi kepada keluarga mereka, kata Ibrahim.
Kestabilan dalam isu ini juga bermakna menjauhkan diri daripada parti politik yang menggalakkan sikap berbahaya seperti demonstrasi jalanan.
Jadi, ketika wanita Melayu muda menyertai DAP terus menjadi berita hangat, Puteri Umno berkeyakinan ia hanyalah dalam skala yang kecil, program rakyat untuk rakyat akan terus menjadi sasaran mereka.
"Akhirnya, kami fikir lebih baik menyediakan penyelesaian kepada masalah wanita muda berbanding melibatkan mereka dengan aktiviti yang akan menyusahkan mereka," kata Haryaty.
sumber
No comments: