Pengalaman Tun Dr Mahathir Mohamad menerajui Umno dan negara selama 22 tahun menjadikan bekas perdana menteri itu sukar berhenti memberi teguran, kata Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Menteri besar Kedah itu berkata, sikap Dr Mahathir yang gemar memberi teguran kepada Umno dan pimpinan negara adalah atas dasar sayang dan tidak mahu perkara buruk menimpa negara.
"Teguran beliau bersifat sayang. Saya kenal beliau. Saya rapat. Kalau dia tak tegur, itu maknanya dia tak sayang.
"Susah bagi dia, sebab dia pernah menjadi presiden parti selama 22 tahun. Jadi, ini bukan sesuatu yang boleh ditinggal begitu saja.
"Pencen pun pencen juga. Tapi kalau sifat sayang tu dah lama, tentunya dia rasa sesuatu perlu dilakukan kalau dia lihat sesuatu yang melemahkan parti," katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat tertutup Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.
Mukhriz berkata, apa yang disarankan bapanya ketika ini masih menampakkan nilai positif, berhemah dan tidak sampai ke tahap memburukkan pihak tertentu.
Katanya, kritikan keras kepada ahli Umno kini bukan sahaja datang daripada Dr Mahathir tetapi ucapan Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak petang ini juga memberi teguran sama.
“Yang penting apa yang akan kita lakukan bila kita ditegur begitu. Saya lihat teguran itu masih bersifat berhemah, tidaklah sampai tahap mengata orang. Terpulang pada kita, adakah kita akan bertindak hasil teguran itu?
“Bukan saja daripada Dr Mahathir, kalau saya dengar ucapan presiden parti, panas telinga juga. Dia tak selindung. Dia terus luah isi hatinya. Saya ingat senada dengan Dr Mahathir sebelum ini,” katanya.
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah itu juga menyeru semua ahli Umno bangkit melakukan perubahan kerana Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan menjelang beberapa tahun lagi.
Katanya, perubahan dalam Umno penting bagi menarik lebih ramai golongan muda menyertai parti Melayu itu kerana mereka kini lebih berminat dengan parti pembangkang.
“Kita punyai tempoh dua tiga tahun lagi sebelum PRU akan datang, dan kita tak mahu dipintas parti lawan dalam soal pendaftaran pengundi, meyakinkan rakyat untuk menyokong kita.
“Sasaran kita mengembalikan jumlah dua pertiga dalam Parlimen. Kalau kita masih goyang kaki, tentunya ini tidak akan menjadi kenyataan. Ini soal survival parti, bukannya main-main," katanya.
Mukhriz berkata sekiranya Umno tidak bersifat inklusif seperti disarankan presiden parti, beliau bimbang dengan masa depan anak bangsa.
"Sekarang tidak menjadi perkara pelik melihat anak muda Melayu profesional menjadi ahli DAP. Bukan PAS dan PKR saja. Dulu ia satu perkara tak masuk akal, tetapi sekarang semakin menjadi-jadi,” katanya.
sumber
No comments: