PKR menyambut baik tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil tindakan tegas terhadap penjawat awam yang didakwa terlibat dengan kegiatan rasuah, namun mempersoalkan adakah suruhanjaya itu turut mengambil tindakan sama terhadap nama-nama besar.
Ahli Parlimen Bukit Katil Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, SPRM harus segera menyiasat bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin yang disyaki mempunyai kekayaan luar biasa.
"Saya mendesak SPRM untuk segera memulakan siasatan terhadap Daim.
"Saya juga meminta secara rasmi agar Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah yang dipengerusikan oleh Tan Sri Abu Zahar Ujang untuk turut memainkan peranan agar 'jerung jangan dibiar berenang bebas di saat ikan bilis dipukat rakus!'," kata Shamsul pada sidang media di Parlimen hari ini.
Naib presiden PKR itu berkata, beliau pernah membangkitkan perkara sama kepada SPRM awal tahun lalu.
Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim juga katanya membuat dakwaan Daim mempunyai wang mencecah wang berbilion ringgit di dalam bank di Afrika dan Eropah Timur dengan menggunakan proksi bagi mengaburi salah laku tersebut.
Shamsul berkata seperti yang dilaporkan blog pro kerajaan, Daim tidak menafikan dakwaan ini dengan kenyataan; “Dia (Anwar) ketika itu berjumpa dengan Presiden Tanzania dalam sesi pelaburan dan bertanya tentang aset saya. Presiden itu berkata, memang saya ada bank di Tanzania, jadi apa masalahnya?”
Shamsul berkata, dakwaan Anwar ini tentunya konsisten dengan laporan polis yang beliau kemukakan pada 30 Jun 1999.
"Beliau bukan sekadar mendedahkan perihal rasuah tersebut, tetapi juga turut mengemukakan bukti tiga pucuk surat yang masing-masing ditulis oleh Tan Sri Halim Saad, Tan Sri Tajuddin Ramli dan Tan Sri Wan Azmi Hamzah," katanya.
"Malangnya sehingga kini, kami masih lagi menunggu maklum balas daripada SPRM sama ada siasatan sudah dimulakan terhadap laporan yang dikemukakan," katanya.
Shamsul berkata, setakat ini pihaknya langsung tidak menerima laporan berita ataupun kenyataan media oleh SPRM yang memaklumkan Daim dipanggil untuk disiasat.
"Sementara kami alu-alukan tindakan agresif SPRM lewat kebelakangan ini, kami juga ingin memberikan peringatan kepada SPRM agar tidak hanya bertumpu siasatan kepada suspek perasuah 'anak-anak ikan'.
"Yang sepatutnya diberikan tumpuan utama ialah siasatan terhadap perasuah ataupun suspek perasuah yang boleh digelar 'jerung-jerung besar'," katanya.
No comments: