Perbalahan mengenai isu kemiskinan diteruskan antara pemimpin Umno dan DAP apabila Zairil Khir Johari mendakwa Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek kelihatan terlalu bersifat perkauman kerana gagal memahami yang kemiskinan tidak hanya pada satu kaum, namun merupakan masalah Malaysia.
Namun, kata Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsan DAP itu, ia bukanlah sesuatu yang menghairankan di kalangan pemimpin Umno.
"Kenyataan perkauman sebegitu satu lumrah bagi seorang menteri Umno dan merupakan ciri fitrah Barisan Nasional (BN) yang sentiasa gagal memahami kemiskinan dan kesenangan pendapatan bukan masalah perkauman.
"Memetik ahli ekonomi terkenal dan pengarang The Colour of Inequality: Ethnicity, Class, Income and Wealth in Malaysia, Dr Muhammed Abdul Khalid, kemiskinan adalah “masalah Malaysia”," kata Zairil dalam satu kenyataan.
Beliau merujuk kenyataan Menteri Komunikasi dan Multimedia itu di Putrajaya semalam, berbunyi: “Kenapa cakap masalah Melayu di Pulau Pinang diwarisi pemerintahan BN? Kenapa tidak cakap kejayaan Cina di Pulau Pinang adalah kejayaan BN?"
Beliau dipetik Bernama berkata demikian mengulas kenyataan Zairil pada hari Sabtu yang dikatakan mengaitkan kemiskinan masyarakat Melayu Pulau Pinang dengan BN.
“Ia satu kenyataan memperlihatkan kecetekan pemikiran dan beliau bersifat 'bias' (berat sebelah) dan perkauman,” kata Shabery merujuk kenyataan didakwa dibuat Zairil.
Zairil bagaimanapun menegaskan dalam kenyataannya Sabtu lalu, beliau menyenaraikan pelbagai dasar kebajikan yang tidak berasaskan kaum tetapi berasaskan keperluan, dilaksanakan kerajaan Pulau Pinang, yang memberi manfaat kepada banyak isi rumah miskin, kebanyakannya keluarga Melayu.
Katanya, pendekatan kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Pulau Pinang sangat berbeza dengan pendekatan yang didukung kerajaan BN sebelum ini.
"Saya juga menzahirkan rasa malu masyarakat Melayu kekal miskin di Pulau Pinang setelah 50 tahun pemerintahan BN, sementara kerajaan PR sedang cuba yang terbaik membantu golongan miskin," kata Zairil.
Menyangkal dakwaan Shabery, Zairil menegaskan tidak semua orang Cina di Malaysia kaya raya, memetik dapatan Jabatan Statistik melalui Kaji Selidik Upah dan Gaji 2013 yang menunjukkan gaji penengah atau median bulanan bagi ketiga-tiga kumpulan etnik utama di Malaysia.
"Gaji median bagi Bumiputera berada pada RM1,600 sebulan. Bertentangan dengan apa yang Shabery percaya, orang Cina tidaklah jauh lebih baik, di mana gaji median kumpulan etnik ini hanya RM2,000 sebulan.
"Orang India pula mendapat gaji median bulanan sebanyak RM1,500. Dalam erti kata lain, gaji median bulanan bagi ketiga-tiga kumpulan etnik utama di negara kita berada pada tahap RM2,000 ke bawah, lantas melayakkan mereka sebagai golongan berpendapatan rendah," katanya.
Zairil berkata, kesenjangan pendapatan juga sesuatu yang membimbangkan apabila Malaysia mencatat jurang paling besar antara yang kaya dan miskin dalam kalangan negara Asia Tenggara.
Dari segi etnik, kesenjangan pendapatan ini tertinggi dalam kalangan kaum India, diikuti kaum Cina dan kemudian Bumiputera, katanya.
"Bagaimanapun, ramai yang tidak menyedari jurang antara orang Cina kaya dan orang Cina miskin sebenarnya yang paling luas dari segi nominal berbanding kumpulan etnik lain.
"Oleh itu, selain semua hartawan Cina yang kita dengar, ada majoriti besar orang Cina berpendapatan rendah yang lebih kurang sama dengan rakan-rakan mereka yang lain di Malaysia," katanya.
Bagaimanapun, Zairil mendakwa meskipun rakyat Malaysia berdepan masalah pendapatan yang rendah, BN terus menghidupkan dasarnya yang memberi kekayaan kepada kroni.
"Jika kerajaan BN ingin diiktiraf kerana berjaya memperkayakan mana-mana golongan, maka golongan kroni inilah yang berjaya diperkayakan tanpa mengira kaum," katanya.
Ahli Parlimen Bukit Bendera itu mendakwa, dasar yang membentuk sebuah ekonomi sewaan (renter economy) berdasarkan kapitalisme monopoli bermanfaat hanya kepada kroni tersebut, bukan kepada majoriti rakyat Malaysia yang terperangkap dalam jerat kemiskinan dan kesenjangan pendapatan.
"Jelas, keadaan ini akan makin parah melainkan polisi proaktif diperkenalkan bagi menangani rasuah dan kronisme yang merompak kekayaan negara milik rakyat Malaysia marhaen," katanya.
Zairil berkata golongan kroni ini sangat istimewa kerana menerima layanan khas dalam bentuk penganugerahan tender rundingan langsung, kontrak murah hati (sweetheart deal) dan konsesi yang menguntungkan serta projek mega daripada kerajaan BN.
sumber
No comments: