» » 'Kerajaan gagal rancang masa depan generasi kedua Felda'


Skim Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) adalah satu kejayaan dalam mengangkat Melayu miskin luar bandar daripada kemiskinan tetapi generasi kedua peneroka sedang berjuang meningkatkan taraf kehidupan kerana kegagalan kerajaan merancang secara berkesan untuk mereka, menurut satu kajian kes oleh Laporan Pembangunan Manusia Malaysia 2013.

Selepas mengatasi kemiskinan, cabaran sekarang ialah untuk mendapatkan lebih mobiliti, tetapi kekurangan peluang ekonomi baru dan lokasi penempatan Felda yang jauh menyebabkan generasi peneroka seterusnya terpisah dari kawasan pertumbuhan bandar, kata laporan itu yang dibuat sempena Program Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu yang dilancarkan di Kuala Lumpur awal minggu ini.

Perjuangan ekonomi generasi kedua itu juga terhalang oleh "modal sosial" yang terhad, atau rangkaian hubungan sosial generasi sebelumnya, kata laporan itu.

Ia berkata ini memberi mereka hanya satu pilihan jika ingin meningkatkan taraf hidup: Memperoleh pendidikan lebih baik dan meninggalkan skim Felda untuk bekerja di tempat lain.

"Kegagalan merancang dengan berkesan peluang ekonomi baru untuk generasi kedua dalam skim tanah rancangan ini, yang terletak jauh dari pusat pertumbuhan bandar, meletakkan kekangan yang besar terhadap peluang mereka untuk mengalami kepesatan kadar mobiliti sosial sebagaimana generasi sebelumnya," menurut laporan itu.

Generasi terdahulu – peneroka Felda pertama pada 1950-an dan 1960-an – menikmati "mobiliti sosial drastik", kerana berjaya keluar daripada kemiskinan kepada status kelas menengah, katanya.

Generasi pertama menyertai tanah rancangan Felda sebagai petani, tetapi menjadi kelas pertengahan apabila tanaman mereka matang untuk dituai.

Penajaan tanah, elaun sara hidup, input pertanian dan pengawasan pengeluaran mencetuskan perubahan sosial yang drastik di kalangan peneroka awal.

Kerajaan juga menyediakan input "sosio-budaya" untuk membantu mereka menyesuaikan diri daripada situasi kampung tradisional kepada skim pembangunan tanah secara besar-besaran.

Menurut laporan itu, kerajaan tidak merancang dengan berkesan bagi generasi akan datang untuk memperoleh tahap ekonomi lebih tinggi.

"Pendekatan pembangunan tanah yang ditaja kerajaan memastikan peneroka yang memasuki tanah rancangan mengalami mobiliti sosial yang mendadak dalam generasi yang sama. Bagaimanapun, modal sosial yang ditunjukkan melalui tahap pendidikan dan motivasi yang rendah adalah kekangan terhadap mobiliti sosial mereka.

"Modal sosial terhad keluarga akan menjadi kekangan lebih besar pada keluarga generasi kedua seperti mendapatkan pendidikan lebih baik dan penghijrahan daripada skim Felda untuk bekerja di tempat lain, menjadi penyelamat mereka dalam kehidupan.”

Namun, laporan itu menyatakan peneroka Felda mempunyai kuasa politik agak besar, dan kritikan mereka terhadap status quo mempengaruhi kerajaan untuk mentakrifkan semula pendekatan pembangunan dan strategi.

Felda mempelbagaikan aktiviti ekonomi melalui Felda Global Ventures (FGV), yang disenaraikan pada bulan Jun 2012, dan Felda Investment Corporation (FIC), yang mengendalikan pelaburan bukan berkaitan perladangan.

FGV merupakan pengeluar terbesar di dunia bagi minyak sawit mentah dan pengendali perladangan ketiga terbesar berdasarkan keluasan ladang, tetapi bergelut sejak kebelakangan ini dengan kejatuhan harga komoditi.

Kajian kes Felda adalah satu daripada tiga kajian lain yang dipetik dalam Laporan Pembangunan Manusia Malaysia di bawah bab mengenai mobiliti sosial di Malaysia.

Tiga kajian kes lain dijalankan ke atas pekerja ladang India, nelayan pantai dan golongan miskin di bandar.

Bagi pekerja ladang India, laporan itu menyatakan satu-satunya cara individu dalam kumpulan ini boleh keluar daripada "kemiskinan yang diwarisi daripada ibu bapa mereka" adalah dengan berhijrah dari ladang ke kawasan bandar.

Namun, kejayaan tidak semudah itu - hanya keturunan terpilih yang berhijrah mempunyai peluang mobiliti lebih baik jika mereka mendapat pendidikan dan akses kepada pekerjaan.

Di kalangan nelayan pantai, kumpulan yang mengalami mobiliti paling teruk adalah nelayan sendiri dan pekerja buruh kasar, berbanding dengan mereka yang terlibat dalam perniagaan.

Laporan itu menyatakan para nelayan tidak bersedia tanpa pendidikan dan kemahiran lain untuk menyesuaikan diri dengan peralihan Malaysia daripada masyarakat pertanian kepada industri.

Golongan miskin di bandar, sementara itu menghadapi cabaran yang sama dalam meningkatkan taraf hidup mereka tanpa mengira kumpulan etnik, walaupun Cina mencatatkan peratusan lebih tinggi dalam kumpulan yang bergerak berbanding Melayu dan India secara keseluruhan.

Laporan itu diterbitkan UNDP dan ditaja rangkaian pembangunan global serta Unit Perancang Ekonomi yang berada di bawah Jabatan Perdana Menteri membuat beberapa cadangan bagi kerajaan untuk membantu meningkatkan golongan berpendapatan rendah dan miskin.

Antaranya ialah cadangan "pusat pertumbuhan" yang menghubungkan kampung dan kawasan bandar supaya peluang pekerjaan dan struktur boleh dikembangkan dan sokongan institusi diberi kepada golongan miskin dari luar bandar yang berhijrah ke kawasan bandar.

Laporan itu ditulis Tan Sri Datuk Dr Kamal Salih, profesor adjung Ekonomi dan Pembangunan Kajian di Universiti Malaya (UM); Dr Lee Hwok Aun, daripada Jabatan Pengajian Pembangunan UM dan Dr Muhammad Khalid daripada Institut Penyelidikan Khazanah.

sumber

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .