“Alyn tak pernah rasa Alyn ni seorang diva. Alyn juga tak pernah menganggap yang diri Alyn ni artis top class.”
Demikian kata Amelina memulakan bicaranya apabila menyentuh isu bagaimana dia hendak memulakan semula langkahnya ‘memasuki’ bidang seni suara yang sudah 15 tahun ditinggalkannya.
“Alyn akan mulakan dari bawah. Alyn akan belajar dan didik diri Alyn umpama macamana semasa Alyn nak naik ketika zaman Alyn aktif menyanyi dulu. Lagipun dalam hidup, kita akan terus belajar apa jua perkara sehingga akhir hayat kita.
“Alyn diberitahu oleh Kak Liza dari Wake The Baby Records, para wartawan lama yang sezaman dengan Alyn serta beberapa rakan artis yang masih rapat dengan Alyn bahawa senario industri muzik sekarang sudah berbeza.
“Sekarang, zaman muzik digital. Jualan album tidak lagi kuat seperti dulu. Generasi sekarang lebih mengenali singles, ringing tones, you tube dan bukannya sebuah album penuh seperti zaman Alyn dulu,” akui Amelina .
Walaupun menyedari hakikat bahawa dia perlu mempelajari selok-belok terkini suasana industri muzik tanah air, namun Amelina yakin dia boleh menyesuaikan dirinya dengan senario baru ini.
“Alyn akan belajar menyesuaikan diri dengan suasana sekarang. Insya-Allah Alyn rasa setakat ini, Alyn tidak ada banyak masalah kerana Alyn ni seorang yang senang menyesuaikan diri dengan apa jua keadaan.
“Masa mula-mula buat keputusan nak kembali semula dalam bidang seni, Alyn akui gementar, bimbang, risau dan macam-macam rasa lagilah. Maklumlah, dah 15 tahun Alyn tinggalkan dunia seni suara.
“Tapi dari sehari ke sehari, atas bantuan dan dorongan banyak pihak termasuk peminat yang menyokong hasrat Alyn untuk buat comeback, Alyn mulai confident dan semakin bersemangat,” ujarnya yang sedari dulu mesra membahasakan dirinya sebagai Alyn sahaja.
Persiapkan Diri Untuk Comeback
Sebagai permulaan kepada usahanya untuk membuatcomeback, Amelina akan mempersiapkan dirinya dari segi mental dan fizikal. Ia turut melibatkan dari segi penampilan,attitude, tahap professional dan cara membawa diri.
Selain itu, soal vokal juga akan diberi penekanan serius memandangkan Amelina sudah lama tidak menggunakan vokalnya sebagai seorang penyanyi profesional.
“Minggu depan, Alyn akan jalani proses vokal yang mana Ajai akan check key vokal Alyn. Daripada situ, Ajai akan polish balik vokal Alyn.
“Alyn tak kisah untuk belajar vokal balik. Lagipun dah lama betul Alyn tak menyanyi dan merakamkan lagu. Jadi Alyn perlu polish balik suara dan cara nyanyian untuk rasa lebih yakin,” kata Amelina yang kini di bawah pengurusan dan label syarikat milik Ajai iaitu Wake The Baby Records.
Mengenai hala tuju nyanyian ‘Amelina Kembali’ ini, bintang yang pernah mengangkat martabat dangdut ke tahap yang membanggakan satu ketika dulu ini memberikan komennya.
“Sebelum ini, Alyn dah pun berbincang dengan Ajai tentang hasrat Alyn untuk terus membawakan lagu dandgut.
“Ajai pun ada bagi tahu yang dia akan memberi sedikit sentuhan baru tetapi tetap mengekalkan dangdut untuk single baru Alyn nanti.
“Alyn sangat teruja untuk menyanyikan lagu baru Alyn nanti. Alyn juga dapat tahu yang masih ada peminat tegar Alyn yang dah lama ternanti-nantikan lagu baru Alyn.
“Bukan itu aja, rupa-rupanya ada generasi baru yang turut mengenali Alyn kerana mereka membesar dengan mendengar lagu Alyn melalui ibu, bapa, kakak atau abang mereka yang dulu mengikuti karier nyanyian Alyn,” ceritanya.
Imej Terbaru
Amelina turut memberitahu tentang sambutan menggalakkan yang diterima daripada peminat terhadap laman sosial media, Instagram miliknya, @amelinaofficial. Daripada situ juga, Amelina mendapat tindak balas daripada peminatnya terhadap keputusannya kembali semula ke dunia seni suara.
Menyentuh tentang imej terbarunya, Amelina yang dulu turut dinanti-nantikan kerana penampilannya yang sentiasa menarik dengan menggayakan pakaian-pakaian rekaan pereka fesyen terkenal, berkata yang dia akan menyesuaikan penampilannya dengan keadaan dirinya sekarang.
“Alyn tetap akan mengekalkan imej elegan macam dulu.
“Cuma sekarang, sebagai seorang mummy kepada enam orang anak, Alyn akan lebih ada batasan dan menekankan nilai sopan dalam berpakaian,” kata Amelina yang turut memberi tahu bahawa anak-anaknya juga sering memberi idea tentang pakaian yang perlu dipakainya.
Pendek kata, sebagaimana keterujaan peminat Amelina yang sudah lama menantikan kemunculan artis yang pernah dianggap sebagai Ratu Dangdut ini, begitulah juga semangat juang Amelina dalam usahanya untuk kembali sama-sama memeriahkan industri hiburan.
Semoga comeback Amelina ini akan memberi sinar semula kepada irama dangdut yang tampak suram semenjak ketiadaannya sebelum ini.
sumber
No comments: