Seorang ahli perniagaan hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kangar terhadap 74 pertuduhan melakukan pengubahan wang haram membabitkan transaksi RM6.25 juta.
Loh Kong Wong, 49, dari Padang Besar menghadapi 68 pertuduhan di bawah Seksyen 93 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) atau AMLA.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Maybank Padang Besar antara 5 Jun 2013 dan 5 November 2014.
Loh didakwa mengikut Subseksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram & Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Enam lagi pertuduhan adalah di bawah Seksyen 7 Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang (APPW) 2011 (Akta 731) kerana menjalankan perniagaan mengirim wang menggunakan dua akaun peribadi semasa tertuduh, satu milik rakan dan tiga akaun semasa milik syarikat secara haram.
Loh didakwa melakukan kesalahan itu di Maybank Padang Besar dan Maybank Kangar antara Mei 2013 dan November 2013 dan didakwa mengikut Seksyen 4(1) Akta 731 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(4) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM5 juta atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan kes AMLA dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Farez Rahman dan Husmarudin Hussin manakala bagi kes APPW pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa daripada Bank Negara, Alvin Ong Heng Kiat dan Mohd Haziq Dhiyauddin Razali.
Tertuduh diwakili peguam Siti Hajar Ahmad, Zamri Ibrahim dan Suhaila Ahmad.
Pihak pendakwaan masing-masing memohon tertuduh dikenakan ikat jamin RM2 juta bagaimanapun peguam Loh, Siti Hajar membantah dengan alasan semua aset termasuk akaun tertuduh, isteri, syarikat serta iparnya berjumlah kira-kira RM7 juta dibekukan oleh Bank Negara.
Beliau berkata anak guamnya boleh melarikan diri ke Thailand petang semalam selepas dihubungi pegawai Jabatan Peguam Negara namun memberi kerjasama sebelum ditahan di Padang Besar.
Hakim Mohd Rosli Osman membenarkan tertuduh diikat jamin RM500,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan pasport tertuduh diserah kepada mahkamah.
Mahkamah menetapkan 7 Januari untuk sebutan semula kes.
sumber
No comments: