» » 'Ada akaun bank tidak bermakna ada duit dalam bank'


Beberapa penyelidik mempersoalkan kenyataan Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Zeti Akhtar lebih 90% rakyat Malaysia mempunyai simpanan tunai berdasarkan pemilikan akaun bank, sambil memberitahu seseorang mungkin ada beberapa akaun bank tanpa simpanan.

Dalam mempertahankan laporan mereka yang mendapati 53% rakyat Malaysia tiada aset kewangan, Tan Sri Kamal Salih, Dr Muhammad Abdul Khalid dan Dr Lee Hwok Aun berkata penemuan mereka adalah mengejutkan dan ia adalah daripada sumber dalaman dan boleh dipercayai.

“Gabenor Bank Negara Malaysia merujuk data bank menunjukkan 'lebih 90% penduduk Malaysia memiliki akaun simpanan'. Adalah tidak mencukupi daripada segi metodologi dan empirikal menyamakan pemilikan akaun bank dengan mempunyai simpanan.

“Majoriti rakyat Malaysia mempunyai akaun bank, dan ada yang mempunyai lebih satu akaun, tetapi seseorang boleh juga memiliki akaun bank tanpa simpanan," kata mereka yang menyediakan bersama Laporan Pembangunan Manusia Malaysia 2013.

Semalam, Zeti menyifatkan laporan mereka bertiga hanya memberikan "maklumat separuh" dan boleh dianggap "mengelirukan", sambil menambah data bank pusat itu melibatkan semua aspek kewangan.

Bagaimanapun, penyelidik itu berkata kajian mereka ke atas Kajian Pendapatan Isi Rumah yang disedikan Jabatan Statistik dan Unit Perancang Ekonomi di bawah Jabatan Perdana Menteri, mendapati majoriti rakyat Malaysia tidak mempunyai simpanan wang.

“Data Kajian Pendapatan Isi Rumah merakamkan kepentingan yang dilapor serta dividen daripada entiti komersial, syarikat serta institusi simpanan lain baik dari sektor formal mahupun bukan formal.

“Justeru, data kajian ini lebih lengkap, dan mengambil kira lebih dari akaun perbankan formal," kata mereka.

Zeti berkata, seseorang sudah tentu akan menabung sekiranya ada keperluan, seperti untuk menunaikan haji dengan menyimpan di Tabung Haji dan juga MBSM.

"Mereka (laporan) mungkin melihat simpanan dalam sistem perbankan tetapi tidak melihat simpanan (dalam perantara kewangan bukan bank) seperti Tabung Haji dan koperasi," katanya seperti dipetik Bernama.

Namun, penyelidik memberitahu, anggaran laporan mengenai simpanan isi rumah tidak mengambil kira simpanan wajib seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kerana mereka hanya berminat dengan simpanan bagi tujuan berjaga-jaga.

“Laporan itu ada mengambil kira pelaburan di dalam Tabung Haji dan PNB serta lain-lain jenis pelaburan, yang ditakrifkan kami sebagai pelaburan kewangan, bukan simpanan. Data kami menunjukkan 57% rakyat Malaysia tidak ada pelaburan kewangan.

“Ini konsisten dengan data Tabung Haji yang menunjukkan dua-pertiga umat Islam tidak mempunyai akaun dengan Tabung Haji, manakala separuh dari golongan Bumiputera tidak mempunyai akaun ASB,” katanya,

Kumpulan penyelidik itu berkata mereka mengalu-alukan kritikan dan perbincangan membina mengenai laporan mereka supaya perdebatan ilmiah dapat diwujudkan demi kepentingan negara.

Laporan yang dilancarkan Selasa lalu di bawah tauliah Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP), mendedahkan 90% isi rumah luar bandar dan 86% isi rumah bandar tidak ada simpanan, manakala majoriti isi rumah, 88%, tidak mendapat keuntungan daripada simpanan mereka.

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .