Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata amat mustahil bagi kerajaan melaksanakan pendidikan percuma kerana ia memerlukan kos yang sangat tinggi.
Bagaimanapun, ahli Parlimen Pulai itu berkata, kerajaan boleh melaksanakan pendidikan percuma seperti di Jerman sekiranya rakyat sanggup membayar kadar cukai yang tinggi.
"Nak pendidikan percuma boleh, tapi bayarlah cukai tinggi," kata Nur Jazlan semasa debat bersama bekas timbalan menteri pengajian tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah di Kompleks Perdanasiswa Universiti Malaya, malam tadi..
Bagaimanapun, Nur Jazlan mengakui universiti di negara ini tidak mencukupi dalam menampung jumlah pelajar.
Katanya, tindakan menambah bilangan universiti bukan satu jalan penyelesaian.
"Sekiranya kerajaan menambah lagi universiti bagi menampung permintaan, selepas itu terpaksa berdepan dengan kos penyelenggaraan tinggi.
"Dan apabila universiti semakin besar, maka kualiti pensyarah itu juga turut jatuh," katanya.
Nur Jazlan berkata, terdapat alternatif menyambung pelajaran ke peringkat pengajian tinggi selain universiti.
"Kita ada pilihan contoh pembelajaran vokasional atau pun kursus profesional. Ia juga merupakan akses kepada pengajian tinggi," katanya.
Saifuddin bersetuju pendirian Jazlan mengenai kemampuan terhad kerajaan dalam memberi pendidikan percuma, tetapi berkata kerajaan masih boleh bertindak dengan menurunkan yuran pembelajaran.
"Memang tidak boleh untuk kita berikan pendidikan percuma seperti kata Jazlan. Kita kena bayar cukai yang tinggi.
"Namun kerajaan boleh menurunkan yuran asalkan tidak ada berlakunya ketirisan atau korupsi," katanya.
Bekas ahli Parlimen Temerloh itu menyarankan institusi pengajian tinggi di negara ini diberi autonomi menetapkan kriteria jelas pelantikan naib canselor.
Beliau berkata, kelemahan universiti kini dapat dilihat dengan ketiadaan penetapan kriteria bagi naib canselor selain daripada proses pencalonan tidak mengikut prosedur.
"Bagi saya, ukurannya adalah ukuran akademik. Kita sekarang ini tidak ada kriteria jelas, misalnya seorang naib canselor atau pentadbir universiti mestilah sekurang-kurangnya menjadi pemimpin cendekiawan dalam fakulti mereka.
"Sebabnya adalah beliau perlu menjadi pemimpin akademik, bukan ahli politik, sekurang-kurangnya sebelum dilantik perlu menjadi tokoh cendiakawan dalam bidang mereka," katanya.
Di majlis yang disertai kira-kira 100 hadirin itu, Saifuddin berkata amat penting naib canselor dilantik dari kalangan pemimpin cendekiawan bagi menjaga tahap kualiti universiti tersebut.
Beliau memberi contoh perlantikan naib cancelor Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) sebelum Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13).
"Namun beberapa hari selepas perlantikan, beliau dipanggil kembali menjadi ketua pengarah pengajian tinggi.
"Saya kenal beliau, seorang yang baik, beliau layak menjadi apa sahaja. Namun, kerana proses itu, orang tertanya-tanya, takkanlah naib canselor dilantik dalam bentuk begitu, kita perlukan penambahbaikkan," katanya.
sumber
No comments: