Dalam satu kes yang tidak dijangka, seorang kanak-kanak lelaki berusia 13 tahun penghidap penyakit disleksia menyaman Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) dan Putrajaya kerana cuai sehingga menyebabkan kebocoran kertas peperiksaan bulan lepas, mengakibatkan 480,000 pelajar Tahun Enam terpaksa menduduki semula empat kertas soalan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).
Ananda Krishnan Menon, yang mengalami ketakupayaan pembelajaran dalam samannya itu berkata, beliau mengalami tekanan emosi dan mental akibat insiden berkenaan.
Saman itu difailkan melalui ibunya, K Managala Bhavani di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur minggu lalu kerana Ananda masih di bawah umur.
Ananda, pelajar Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail (2) di Kuala Lumpur berkata, beliau tidak lagi bersemangat untuk mengulangi keseluruhan proses menduduki semula peperiksaan itu.
Dalam kenyataan tuntutannya yang dilihat The Malaysian Insider, Ananda berkata beliau lebih tertekan berbanding kanak-kanak lain untuk menduduki semula peperiksaan itu disebabkan ketidakupayaannya.
Disleksia adalah kesukaran untuk belajar dengan penghidapnya mengalami kesukaran mengenal pasti penggunaan perkataan dengan tepat, penyahkodan dan sukar untuk mengeja.
Ananda berkata, beliau menamakan LPM dan Putrajaya sebagai defendan kerana kerajaan tidak mengambil tindakan terhadap anggota LPM dan agen mereka yang menyebabkan kebocoran itu.
"Sebaliknya, kerajaan membentuk jawatankuasa bebas bagi menyemak prosedur operasi standard dalam mengendali dan menguruskan peperiksaan awam," kata kanak-kanak itu melalui samannya.
Beliau berkata, LPM, kakitangannya atau agen mereka cuai sehingga mengakibatkan kebocoran kertas soalan Bahasa Inggeris, Sains, Matematik dan Bahasa Tamil.
Katanya, LPM gagal menyeadiakan sistem yang selamat untuk memastikan tiada kebocoran dan gagal menyelia kakitangannya pada ketika kertas peperiksaan dihantar ke sekolah di seluruh negara.
Beliau menuntut gantirugi teruk kerana kakacauan disebabkan LPM itu.
LPM dipertanggungjawabkan bagi menyediakan dan mencetak kertas soalan untuk semua peperiksaan awam dan dokumen itu diklasifikasikan mengikut Akta Rahsia Rasmi (OSA) sebelum peperiksaan bermula.
Peperiksaan UPSR dijadualkan di antara 9 hingga 11 September, namun disebabkan kebocoran itu, pelajar dikehendaki menduduki semula peperiksaan bagi mata pelajaran Sains, Bahasa Inggeris, Matematik dan Bahasa Tamil.
Pada 30 September, pelajar Tahun Enam menduduki semula kertas soalan Sains dan Bahasa Inggeris, dan pada 9 Oktober mereka dikehendaki mengambil semula peperiksaan Matematik dan Bahasa Tamil.
Kebocoran itu menyebabkan 473,175 pelajar daripada 8,384 sekolah di seluruh negara terpaksa menduduki semula peperiksaan itu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, SAC Gan Kong Meng pada 21 September berkata, polis merakamkan percakapan 30 individu dan kertas siasatan akan dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara untuk menentukan sama terdapat bukti kukuh untuk mendakwa mereka mengikut Seksyen 8(1) Akta Rahsia Rasmi 1972 kerana mendedahkan kandungan sulit dan menyebarkan maklumat sedemikian kepada orang lain.
Polis merekodkan kenyataan 8 pegawai LPM, 19 guru, dan masing-masing seorang pegawai daripada Kementerian Pendidikan, seorang wartawan, dan seorang jurutera.
Dalam proses itu, 14 individu kemudiannya ditahan namun dibebaskan dengan jaminan polis.
Bagaimanapun sehingga kini masih belum ada yang didakwa. Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga menteri pendidikan membuat permohonan maaf kepada murid dan ibu bapa berhubung insiden berkenaan.
Pada 12 September beliau mengumumkan Pengarah LPM Dr Na'imah Ishak dan Timbalan Pengarah (Operasi) Dr Wan Illias Wan Salleh digantung tugas bermula 20 September sehingga siasatan selesai.
Bagaimanapun lapan hari kemudian, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tan Sri Dr Madinah Mohamad mengesahkan Na'imah dan Wan Ilias tidak digantung tugas, sebaliknya ditugaskan semula untuk tugasan lain dan mereka "tidak dihukum".
Insiden berkenaan turut menyaksikan kumpulan Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan Malaysia (Page) mendakwa insiden berkenaan kerap berulang namun tiada sebarang tindakan diambil.
Pengerusi Page Datin Noor Azimah Abdul Rahim berkata, kebocoran dan penangguhan peperiksaan itu adalah "berita yang teruk".
"Setiap tahun, berita seperti ini akan kedengaran. Kondisi yang ditetapkan untuk LPM menganggap kertas soalan itu bocor juga sungguh ketat.
“Jadi disebabkan itu, pelaku mengulangi perbuatan kerana tahu boleh terlepas dengannya,” kata Noor Azimah.
Malah, beliau turut melihat insiden berkenaan "memalukan" Noor Azimah berkata, pusat tuisyen turut bersalah kerana sebahagiannya bersaing untuk menunjukkan reputasi mereka yang cemerlang.
"Ini adalah rancangan pemasaran bagi pusat tuisyen. Ia memberikan tanggapan buruk kepada pelajar kerana mereka tidak akan berjaya tanpa mengetahu soalan yang akan keluar," katanya, dan menuntut kementerian menyemak semula keseluruhan prosedur peperiksaan.
Beliau berkata, pesalah harus dihukum dengan hukuman yang berat. Tahun lalu, laporan polis dibuat selepas soalan Matematik dan Matematik Tambahan dalam Sijil Pelajaran Malaysia didakwa bocor di dalam satu seminar.
Polis bagaimanapun, katanya menafikan dakwaan itu, dan berkata ia hanyalah soalan percubaan.
sumber
No comments: