Putrajaya akan terus mengekalkan Akta Hasutan 1948 selagi tiada undang-undang baru bagi menggantikan akta tersebut dapat digubal, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri.
Beliau berkata buat masa ini tiada sebarang undang-undang yang dapat menangani kesalahan menghasut selain Akta Hasutan yang diguna pakai sejak zaman penjajah British itu.
"Pada masa sama kita berharap dapat menghargai keadaan yang kita hadapi masa kini. Apa yang berlaku ialah kita dalam proses menghasilkan satu undang-undang baru menggantikan atau menjadi seiring dengan akta hasutan itu sendiri kalau kita perbaiki.
"Ia menjadi satu proses buat masa ini sehingga dipinda undang-undang baru.
"Selain itu, mengapa kita masih menguatkuasakan akta ini? Kerana kita tidak punyai akta lain bagi tindakan kecenderungan menghasut, sebab itu kita punya akta ini," katanya Dewan Rakyat, Kuala Lumpur hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap janji Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk memasuhkan Akta Hasutan.
Selain itu, katanya, Malaysia mengamalkan pemisahan kuasa di mana kerajaan persekutuan tidak boleh mencampuri urusan Jabatan Peguam Negara dalam hal pendakwaan.
Nancy berkata, setiap negara mesti menghadkan kebebasan bersuara meskipun negara ini mengamalkan sistem demokrasi.
Beliau turut memberi contoh sekatan kebebasan bersuara yang turut diamalkan di negara demokrasi seperti Britain dan Australia.
Bagaimanapun, sidang Dewan bertukar panas apabila Datuk Bung Mokhtar Radin (BN-Kinabatangan) mencadangkan Jabatan Peguam Negara menyiasat mereka yang mahu menghapuskan akta itu dan mendakwa mereka mempunyai niat jahat.
"Saya cadangkan mereka yang mahu mansuhkan akta ini, Jabatan Peguam Negara perlu tahan mereka, tahan semua satu-satu," katanya.
Beliau kemudian dibidas Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) yang mengatakan "niat jahat" yang dikatakan Bung itu merujuk kepada Najib kerana beliau yang mengumumkan hasrat kerajaan memansuhkan akta itu sebahagian agenda transformasi.
sumber




No comments: