» » 'Mana pergi RM4 bilion untuk projek SRC International?'


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak didesak supaya menjelaskan status pinjaman RM4 bilion yang diberi kepada anak syarikat Kementerian Kewangan yang gagal mengemukakan penyata kewangan tahunannya, kata wakil rakyat DAP.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua berkata, SRC International Sdn Bhd mendapat pinjaman berdasarkan prinsip Islam daripada Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP) yang dijamin kerajaan Malaysia.

Pinjaman disalurkan kepada SRC pada Ogos 2011 dan Mac 2012, untuk dijadikan modal permulaan, dana operasi dan modal pelaburan.

Namun, Pua berkata bukan sahaja jumlah pinjaman, tetapi penyata kewangannya turut dipersoalkan apabila kali terakhir dibentangkan pada Mac 2012.

Katanya, serahan penyata akaun Mac 2013 yang berakhir September 2013 masih belum diberikan.

"Kenapa begitu sukar syarikat yang diberi pinjaman mega serahkan penyata kewangannya kepada pihak bertanggungjawab?" soalnya pada satu sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Soalan turut dikemukakan kepada Menteri Kewangan di Dewan Rakyat pada Selasa lalu, namun kerajaan dalam jawapan balasnya berkata SRC "mengendalikan beberapa projek strategik infrastruktur negara."

Kementerian Kewangan dalam jawapannya berkata, SRC adalah syarikat strategik berpandangan jauh yang akan melipatgandakan keupayaan negara dalam menjana pertumbuhan jangka panjang.

Pua berkata, menjadi persoalan apabila Menteri Kewangan dalam jawapannya gagal menjelaskan secara spesifik aktiviti perniagaan yang dijalankan SRC.

"Tidak ada sebab diberikan mengapa serahan penyata kewangan ditangguhkan, cuma mereka nyatakan penyata tahun 31 Mac 2013 dan 2014 akan difailkan sebelum 31 Oktober 2014," katanya.

Pua turut membangkitkan persoalan SRC memperoleh dana segera daripada 1Malaysia Development Bhd (1MDB) pada Februari 2012, selepas RM4 bilion dibelanjakan sepenuhnya.

"Kenapa 1MDB menaikkan RM4 bilion pinjaman yang dijamin kerajaan melalui SRC, dan kenapa Kementerian Kewangan mengambil alih SRC sejurus selepas pinjaman RM4 bilion dibelanjakan sepenuhnya?" katanya yang turut membangkitkan soalan itu dalam Dewan Rakyat, tetapi tidak dijawab.

Katanya, kegagalan kerajaan mengemukakan jawapan telus hanya menimbulkan spekulasi wujudnya salah laku agihan kewangan pinjaman RM4 bilion kepada SRC.

"Apa terjadi dengan RM4 bilion itu sejak Mac 2012? Najib yang juga Menteri Kewangan serta Pengerusi 1MDB perlu menjawab soalan ini," katanya.

Katanya, kelemahan urus tadbir, ketelusan dan kebertanggungjawaban daripada anak syarikat kerajaan yang dipengerusikan Najib amat memalukan.

"Tindakan ini menunjukkan contoh tidak baik kepada agensi kerajaan lain."

Ini akan melambatkan penyerahan akaun 1MDB tahun Mac 2013 selain peletakan jawatan juruaudit 1MDB, KPMG Malaysia, katanya.

"Bagi menyelesaikan teka-teki ini, Kementerian Kewangan memperoleh SRC supaya masalah itu tidak akan menjejaskan akaun 1MDB.

"Namun, masalah di SRC masih kekal, syarikat itu tidak menyerahkan penyata kewangannya sejak Mac 2012," katanya.

1MDB dilaporkan hanya menyerahkan laporan tahunan bagi tahun berakhir Mac 2013 pada April tahun ini dan ia hanya diselesaikan selepas syarikat itu mengugurkan juruauditnya KPMG beberapa bulan sebelum itu, dan melantik Deloitte bagi menyiapkan audit itu.

sumber

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .