Seorang pegawai penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh dan seorang rakannya ditahan di sebuah rumah pangsa di Pulau Pinang semalam kerana disyaki memiliki syabu.
Ketua Polis Perak Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata sejumlah dadah ditemui bersama pegawai berpangkat inspektor berusia 30 tahun itu.
"Pegawai ini baru sahaja melaporkan diri di IPD Ipoh kira-kira 6 bulan lepas. Ujian air kencing turut mendapati pegawai dan rakannya itu positif dadah," katanya kepada pemberita pada majlis serah tugas Ketua Polis Perak.
Jawatan itu akan dipangku Datuk A Paramasivam yang kini menjawat jawatan timbalan ketua polis Perak sementara Acryl Sani akan menyandang jawatan pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman mulai 20 Oktober ini.
Kes itu diserahkan kepada polis Pulau Pinang untuk menjalankan siasatan.
Acryl Sani berkata, polis tidak akan berkompromi dengan pegawai dan anggotanya yang melakukan kesalahan jenayah dan tindakan akan diambil mengikut undang-undang sedia ada.
"Untuk jadikan PDRM sebagai pasukan relevan dan dihormati, kita tidak akan bertolak ansur, dasar kerajaan adalah tegas, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah," katanya.
No comments: