Bekas mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin mengingatkan
umat Islam agar tidak lupa "ulama yang bersikap bagaikan anjing"
dalam kesibukan membincangkan isu kempen menyentuh bintang itu.
Merujuk sepotong ayat al-Quran, tokoh agama itu menjelaskan ayat
tersebut telah menyamakan ulama yang menjual nilai ajaran Allah demi
kepentingan dunia sepertimana anjing yang sentiasa menjelirkan lidah.
"Padahal jika dia berpegang atas prinsip ilmu dia tetap akan
mendapat kemuliaan. Namun, dia gopoh dengan silauan tawaran dunia. Samalah dia
seperti anjing yang sentiasa menjelirkan lidah.
"Anjing menjelirkan lidah disebabkan kepanasan badannya, atau
oksigen yang tidak cukup bagi tubuhnya," katanya dalam laman Facebooknya.
"Demikian ilmuwan yang sentiasa kepanasan kerana gilakan
dunia, atau sentiasa merasa tidak memadai dengan kedudukan mulianya sebagai
ilmuwan, lalu dia menjelirkan lidahnya yang hodoh mencari yang lain habuan yang
lain," tegasnya lagi.
Ulama pengampu
Dr Mohd Asri membidas tindakan ulama yang “mengampu mempertahankan
kesalahan pihak yang diampu” dan mencari kesalahan pihak musuh dengan pelbagai
dalil.
"Jika musuh pihak yang diampu membuat salah, dia mencari
puluhan dalil yang memasukkan mereka ke dalam neraka. Jika pihak yang diampu
itu betul, berlebih-lebihan dia memuji dengan segala dalil agama.
"Jika musuh pihak yang diampu betul, dia cuba mencari dalil
agama untuk melihat kelemahan dari sudut yang lain," katanya.
Memetik sepotong ayat al-Quran lain yang mengingatkan ancaman azab
Allah terhadap ulama yang menyembunyikan kebenaran, Dr Mohd Asri yang mengakui
bahawa ulama bukan malaikat atau nabi yang maksum.
Bagaimanapun, felo Universiti Oxford itu berkata ulama tidak boleh
menyelewengkan fakta, atau menyembunyikan kebenaran sehingga mengelirukan
manusia tentang hakikat ajaran Allah walau apa jua keadaannya.
"Peranan mereka adalah menjaga ilmu dan memastikan ilmu itu
berfungsi untuk kemaslahatan manusia.
"Menjadi mat rempit, atau perompak, atau pemimpin yang tidak
jujur tidak lebih buruk daripada ulama yang menyembunyikan kebenaran atau
menyelewengkan fakta sehingga manusia tersesat.
"Maka al-Quran menyamakan ulama yang memutarkan kebenaran itu
seperti anjing yang menjelirkan lidah," katanya.
Seperti panda, tak jelas...
Sementara itu, mengulas kontroversi acara menyentuh anjing
kelmarin, Dr Mohd Asri berkata tulisannya sebelum ini tidak bermaksud menyokong
kempen itu, walaupun media didakwa menggambarkan demikian.
"Apakah keperluan program seperti hendak dianjurkan? Ini
seperti mana saya juga tidak jelas mengapakah jutaan ringgit dibelanjakan untuk
membolehkan rakyat melihat panda dari China.
"Jika saya ingin menyokong ataupun membantah, saya hendaklah
jelas dan adil ke atas kedua-dua kes ini," katanya.
sumber
sumber
No comments: