Sambil menyifatkan dasar ekonomi dan sosial diamalkan Putrajaya sekarang cacat, MCA menggesa kerajaan mengkajinya semula kerana ia menyebabkan masyarakat bandar khususnya, menyalahkan Barisan Nasional kerana kurang peluang ekonomi.
Bercakap pada Mesyuarat Agung Tahunan MCA ke-61 di Kuala Lumpur hari ini, Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, harus diakui mekanisme kerajaan yang ada sekarang seakan tidak berkesan.
"Kekayaan berkisar hanya di kalangan beberapa ahli perniagaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Ini tidak memberi kesan sebenar kepada golongan berpendapatan rendah," katanya.
Katanya, jurang kekayaan di Malaysia satu isu rumit kerana ia menyentuh isu kaum, dan mencadangkan MCA bersama-sama dengan kerajaan berusaha mengecilkan jurang kekayaan dan pendapatan tanpa mengira kaum.
“Bumiputera yang tinggal di bandar terutamanya, menyalahkan kerajaan kerana peluang ekonomi terlampau terhad. Manakala orang Cina di bandar menyalahkan kerajaan kerana aktiviti rasuah dan kadar jenayah yang kelihatan meningkat.
“Golongan peniaga dan tokoh korporat menyalahkan kerajaan kerana peluang perniagaan di bandar makin merosot. Ini bermakna, kerajaan dan MCA mesti menyediakan pelan jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang menangani isu di kalangan penduduk bandar."
No comments: