» » 'Bajet 2015 diskriminasi pekerja swasta'


Pekerja swasta di negara ini masih terpaksa bergelut dengan cabaran kenaikan kos harga barang pada tahun depan walaupun Bajet 2015 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam bertemakan Ekonomi Keperluan Rakyat (EKR), kata Kongres Kesatuan Pekerja Malaysia (MTUC).

Presiden MTUC Khalid Atan berkata, Bajet 2015 tidak menyediakan pelan penambahbaikan hidup bagi pekerja swasta menangani beban sara hidup memandangkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) akan dilaksanakan April tahun depan.

"Tidak ada yang istimewa tentang bajet kali ini, sama sahaja seperti tahun lalu.

"Bajet sepatutnya lebih kepada mesra rakyat tetapi saya tidak rasa pembentangan bajet kali ini mengambil kira kesannya terhadap 13.5 juta pekerja swasta," katanya mengulas Bajet 2015 yang dibentangkan Najib di Parlimen semalam.

Katanya, selain membantu golongan kakitangan awam, kerajaan sepatutnya mengumumkan polisi elaun sara hidup (Cola) RM300 sebulan memandangkan 40% daripada pekerja swasta adalah golongan berpendapatan rendah.

"Kenapa tak bagi Cola RM300? BR1M hanya 'one off' dan tangga gaji masih sama. Sedangkan kos sara hidup semakin meningkat dan ini akan menyebabkan mereka hilang kuasa membeli," katanya.

Katanya, sehingga kini MTUC masih berjuang untuk memansuhkan Akta Buruh yang dilihat tidak membela nasib pekerja termasuk isu penetapan gaji minima RM900 yang masih rendah.

"Kami adalah golongan yang membangunkan negara, kami tidak sepatutnya dipinggirkan. Perlu adil pada semua, bukan tunjukkan keprihatinan kepada kakitangan awam sahaja," katanya.

Najib dalam pembentangan Bajet 2015 mengumumkan penambahan barangan asas yang dikecualikan daripada GST, termasuk minyak petrol RON95, diesel dan gas masak LPG.

Namun, sekitar 354 jenis barangan dan perkhidmatan dijangka mengalami kenaikan harga tidak melebihi 5.8%.

Bimbang dengan kesan itu, peruntukan sebanyak RM262 juta bagi membiayai kos pengangkutan dan penguatkuasaan kawalan harga barangan keperluan harian diumumkan Najib bagi menyeimbangkan harga barang keperluan antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak.

Mengulas mengenainya, Khalid meragui tambahan pengecualian GST terhadap beberapa barangan asas yang dilihatnya tidak memberi jaminan kepada pengurangan beban sara hidup pekerja.

Malah, pengumuman pengurangan cukai individu sehingga 2% katanya, tidak membantu kerana hanya kira-kira 20% individu bergaji tinggi sahaja yang membayar cukai.

"Perdana Menteri kata tubuhkan pasukan khas untuk pantau kenaikan harga tapi kita tak tahu berkesan atau tidak.

"Selama ini pun mereka bercakap tentang kawalan, tetapi harga barang masih naik juga. Ia tak pernah terbukti berkesan.

"Dia (kerajaan) tangkap orang (peniaga) tetapi harga naik juga," katanya.

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .