Peneraju Emirates Airline, Tim Clark percaya pesawat Malaysia, MH370 tidak terjunam di Lautan HIndi.
Dalam wawancaranya kepada akhbar Der Spiegel yang berpangkalan di Jerman, Clark berkata, beliau tidak percaya pesawat MH370 beroperasi secara autopilot semasa ia hilang.
Sebaliknya beliau mendakwa:"Pada pandangan saya, MH370 berada dalam kawalan, kemungkinan sehingga akhir".
Pandangan Clark itu bertentangan dengan dengan pendapat sebelum ini bahawa pesawat MH370 terbang secara autopilot sehingga kehabisan minyak dan jatuh di selatan Lautan Hindi.
"Setiap saat yang berlaku dalam pesawat itu perlu diteliti, secara teorinya, sehingga berakhir di Lautan India, yang mana pasukan pencari masih gagal untuk mengesannya, walaupun kusyen tempat duduk," katanya.
Sedangkan, kata Clark, pengalaman lampau telah menunjukkan sebarang insiden di perairan, tempat pesawat terjatuh, selalunya ada sesuatu yang ditemui.
"Setakat ini kita tidak melihat satu penemuan pun di lokasi yang didakwa tempat nahas MH370, saya turut mempersoalkan isyarat satelit yang diperkatakan," tambahnya.
Emirates Airline memiliki 127 pesawat Boeing 777 - paling banyak berbanding syarikat penerbangan lain - yang modelnya sama dengan pesawat MH370 yang hilang.
Beliau secara terang-terangan berasa syak tentang ketelusan siasatan kes kehilangan pesawat MH370.
"Secara totalnya saya tidak berpuas hati dengan semua ini," ujarnya.
Kenyataan Clark itu meningkatkan lagi teori konspirasi. Clark menambah: "Kita perlu tahu siapa berada dalam pesawat berkenaan secara terperinci yang identiti mereka diketahui oleh pihak tertentu. Kita perlu tahu apa yang ada dalam pesawat tersebut".
Analisis terkini daripada Biro Keselamatan Pengangkutan Australia memberitahu, pesawat MH370 telah membelok di sebelah kiri secara perlahan dan terjunam di Lautan Hindi semasa kehabisan minyak.
Ketika kejadian tujuh bulan lalu, pesawat malang itu membawa 239 orang penumpang.
Pencarian besar-besaran gagal menemui sebarang hasil dan fasa pencarian berikutnya adalah untuk mengesan pesawat melalui proses pemetaan Lautan India.
No comments: