» » 'UMNO perlu berani kritik pemimpin'


Ahli Umno perlu melakukan pembaharuan untuk lebih berani mengkritik pemimpin mereka, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir berkata, beliau kesal kerana budaya parti Melayu itu sekarang ialah memberi sokongan secara buta-tuli tanpa menyoal sebarang perkara.

"Seorang pemimpin perlu diberitahu tentang pandangan lain juga. Seorang pemimpin tidak boleh lakukan apa saja yang disukainya," katanya di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan bekas wartawan Datuk A Kadir Jasin yang mendakwa sementara Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak kuat, parti yang dipimpinnya lemah dan oleh itu, tidak akan ada cubaan menyingkirkan perdana menteri itu.

Dr Mahathir akhir-akhir ini kerap mengkritik pentadbiran Najib bermula dengan kenyataannya menarik balik sokongan terhadap presiden Umno itu pada Ogos kerana tidak mempedulikan kritikan terhadapnya.

"Saya cuba untuk memberi pandangan terus kepada beliau (Najib) di mana ia juga pendapat kebanyakan orang yang berjumpa saya," katanya dalam tulisan yang dipaparkan melalui blognya chedet.cc bulan lalu.

Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata kritikan ke atas Najib itu bukan atas bersifat peribadi dan tidak bertujuan menggesa beliau meletak jawatan.

Katanya, kritikannya itu kerana tidak gembira dengan polisi perdana menteri itu dan pendekatan tidak tegas beliau yang dilihat tidak memberi kebaikan kepada negara.

Meskipun menteri kabinetnya mempertahankan pentadbiran Najib, namun ahli partinya mengambil pendekatan berhati-hati dalam reaksi mereka terhadap kritikan keras Dr Mahathir itu.

Walaupun Najib dilihat enggan terpengaruh dengan kenyataan Dr Mahathir dan menyifatkannya sebagai soal dalaman Umno, majlis tertinggi Umno dikatakan mendesak Najib bersikap lebih tegas apabila kerajaan dilihat lebih banyak berlembut sejak Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Penganalisis berkata, serangan berterusan Dr Mahathir tidak akan menjatuhkan perdana menteri itu, sebahagiannya kerana ketika ini masih belum ada calon sesuai untuk mengambil alih jawatan nombor satu negara itu.

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .