Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Khair Mohamad Yusof berkata bilangan mereka yang terlibat dalam penyediaan soalan peperiksaan ini lebih kecil dalam usaha memastikan keselamatan kertas itu lebih terkawal.
"Setiap langkah akan lebih dikawal bagi memastikan kertas tidak dikompromi," katanya selepas melawat 5 sekolah di Kuala Lumpur bagi memeriksa persiapan untuk ujian semula kertas Sains dan Bahasa Inggeris esok.
"Sekiranya murid tidak menghadiri ujian semula ini, mereka akan dianggap tidak hadir. Kami tak pernah katakan yang murid ada pilihan," katanya.
Beberapa kumpulan ibu bapa termasuk Parent-Action Group for Education (PAGE) mengecam kementerian berhubung kes kebocoran itu dan meminta ujian semula itu tidak diadakan kerana ia mengakibatkan tekanan kepada murid Tahun 6.
Ibu bapa berkata murid tidak sepatutnya dihukum kerana tidak menduduki semula ujian itu dan bertanya sama ada markah ujian asal akan digunakan sekiranya mereka tidak mengambilnya semula.
Pihak berkuasa mengarahkan empat kertas iaitu Sains, Bahasa Inggeris, Matematik dan Bahasa Tamil diulang semula selepas kebocoran membabitkan kertas itu dilaporkan.
Kertas Matematik dan Bahasa Tamil akan diadakan semula pada 9 Oktober.
Kedua-dua Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Idris Jusoh memohon maaf secara terbuka berikutan kebocoran itu dan memberi jaminan dalang yang terlibat akan dibawa ke muka pengadilan.
Setakat ini polis menahan 14 individu, termasuk 12 guru, bagi membantu penyiasatan dan merekodkan kenyataan dari 30 individu – 19 guru, 8 pegawai Lembaga Peperiksaan Malaysia, seorang pegawai kementerian, seorang wartawan dan seorang jurutera.
Pengerusi PAGE Datin Noor Azimah Abdul Rahim, dalam menyeru kementerian membatalkan ujian semula itu sebelum ini berkata, sekiranya mereka tidak menduduki semula ujian itu, atau gagal sekalipun, mereka masih berpeluang naik ke Tingkatan 1.
"Walaupun mereka gagal, mereka masih boleh naik Tingkatan 1. Tidak ada bezanya (ujian semula atau tidak), tidak seperti SPM dan STPM," katanya.
Hari ini, Khair berkata walaupun kenyataan itu benar, UPSR masih diperlukan bagi menjadi penanda aras untuk pelajar di sekolah menengah dalam proses penempatan kelas mereka.
"Mereka masih akan masuk Tingkatan 1, tetapi pencapaian akademik mereka akan jadi tidak jelas. Sekolah yang akan membuat keputusan. Keputusan UPSR ialah sebagai panduan untuk sekolah," katanya.
No comments: