Murid Tahun 6 akan menduduki semula peperiksaan mata pelajaran Bahasa Inggeris bagi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada 30 September ini, tarikh yang sama bagi kertas Sains yang ditangguhkan semalam.
Kementerian Pendidikan mengumumkan perkara ini susulan kejadian soalan bocor melibatkan dua subjek tersebut yang dikesan semalam dan hari ini.
Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh berkata pada satu sidang media hari ini kertas Bahasa Inggeris itu didapati bocor pagi tadi tetapi murid-murid tidak dimaklumkan dan diminta meneruskan ujian.
Lembaga Peperiksaan mengesahkan terdapat kebocoran bagi Kertas 1 dan 2 subjek itu dan murid terpaksa mendudukinya semula pada satu tarikh yang akan ditetapkan.
Semalam, kementerian memaklumkan kandungan kertas soalan Sains dibocorkan di media sosial menyebabkan ia tidak dapat diadakan mengikut jadual hari ini dan akan ditangguhkan kepada 30 September.
Tahun ini, seramai 473,175 murid Tahun 6 menduduki UPSR di 8,299 pusat peperiksaan, melibatkan 51,438 pengawas peperiksaan dan 382 peti besi menyimpan kertas ujian.
Bagaimanapun, murid sekolah jenis kebangsaan tidak perlu menduduki semula kertas Bahasa Inggeris itu.
Idris berkata, memandangkan jumlah yang terlibat dengan UPSR agak besar, kementerian terpaksa memutuskan tarikh yang lewat untuk ujian semula kerana banyak perkara logistik perlu diselesaikan.
Menurut kenyataan Lembaga Peperiksaan, siasatan terperinci akan dilakukan terhadap semua dakwaan yang dibuat berhubung kes kertas soalan bocor itu.
"Ini bagi memastikan orang ramai boleh terus percaya dengan kesahihan dan kebolehpercayaan lembaga dalam mengeluarkan sesuatu keputusan peperiksaan tanpa sebarang kompromi.
"Kami akan bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk mengenalpasti mereka yang bertanggungjawab dan bawa mereka ke muka pengadilan."
Idris juga mengumumkan pembentukan satu jawatankuasa bebas berprofil tinggi yang akan melihat kepada masalah soalan bocor yang selalu berulang dan menasihat kementerian tindakan yang perlu diambil.
sumber
No comments: