Orang Melayu tidak malu jika mereka gagal, baik di dalam peperiksaan mahu pun di dalam kehidupan, kata Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini.
Bekas perdana menteri yang memegang rekod paling lama itu berkata, beliau menghabiskan tempoh 22 tahun untuk cuba mengubah orang Melayu dan persepsi mereka, tetapi gagal.
"Saya cuba mengubah mereka, cuba menukar persepsi yang menganggap orang Melayu malas, tapi saya gagal."
Kenyataan itu dibuat selepas Kementerian Pendidikan mendedahkan terdapat kebocoran soalan bagi dua kertas peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah tahun ini, menyebabkan hampir 500,000 murid Tahun 6 terpaksa menduduki kertas itu pada 30 September.
"Pada masa lalu, apabila seorang Melayu dihukum penjara, pesalah akan tundukkan kepala kerana malu kerana ia bukan sesuatu yang membanggakan.
"Tetapi hari ini, apabila seorang Melayu dihukum penjara, dia akan berjalan sambil mendongakkan kepalanya dengan bangga, senyum seolah-olah dia berjaya mencapai sesuatu."
Mahathir berkata demikian semasa pelancaran buku bertajuk "Wahai Melayu" oleh penulisnya Anas Zubedy di Petaling Jaya.
Beliau memetik Mat Rempit sebagai contoh orang Melayu yang tidak malu walaupun mereka tidak bekerja keras.
"Lihatlah pecahan jantina mahasiswa universiti awam sekarang. Pelajar wanita 70%, pelajar lelaki hanya 30%. Apa jadi?
"Malaysia kurang lelakikah? Bukan. Tetapi, lelaki Melayu bangga jadi Mat Rempit. Mereka tidak malu jika gagal peperiksaan."
Dr Mahathir berkata beliau menghabiskan 22 tahun sebagai perdana menteri cuba menukar minda Melayu dan menyedarkan mereka.
"Saya selalu cakap kepada bukan Melayu, jangan fikir Melayu pemalas. Tapi sekiranya orang bertanya saya hari ini, saya terpaksa cakap, orang Melayu memang pemalas," katanya.
Satu lagi sifat negatif pada orang Melayu ialah kurangnya sifat jujur dan integriti, serta kegagalan mereka menguruskan kewangan dengan baik.
Beliau bercerita pengalamannya mengendalikan sebuah kedai roti selepas bersara daripada politik.
"Saya buka kedai roti dan beri banyak peluang kepada Melayu untuk memegang jawatan pentadbiran.
"Malangnya, berkali-kali kejujuran dan integriti nampaknya tiada kerana ada pekerja yang kerap kali mencuri.
"Mereka seperti tidak faham yang mengambil barang orang lain itu satu kesalahan. Mereka tidak lihat dari sudut yang lebih besar atau kesan jangka panjang."
Katanya, beliau pernah cuba mengubah minda Melayu dengan memperkenalkan Dasar Pandang ke Timur pada 1982 kerana amat mengagumi orang Jepun yang menganggap kegagalan sesuatu yang tidak boleh diterima.
sumber
No comments: