Polis hari ini memperoleh perintah mahkamah untuk menahan reman 3 guru, seorang daripada mereka wanita, selama 4 hari untuk membantu siasatan kes kebocoran soalan kertas Sains dan Bahasa Inggeris Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini.
Majistret Nur Dahlia Azmi mengeluarkan perintah reman itu, berkuatkuasa hari ini, terhadap 3 guru berkenaan berumur antara 24 tahun dan 36 tahun untuk siasatan mengikut Seksyen 8 (1) Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972.
Ketiga-tiga guru itu ditahan di Negeri Sembilan malam tadi.
Isnin lepas, empat lelaki direman 4 hari hingga esok. Semalam polis memperoleh perintah mahkamah untuk menahan reman seorang jurutera selama 4 hari.
Susulan kebocoran soalan kertas Sains 018, 028 dan 038 dan Bahasa Inggeris 014/1 and 014/2 itu Khamis lepas, hampir setengah juta calon UPSR perlu menduduki semula peperiksaan kedua-dua kertas itu pada 30 September.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga menteri Pendidikan mengumumkan pada Jumaat lepas Pengarah Lembaga Peperiksaan Malaysia Dr Na'imah Ishak dan Timbalan Pengarah Operasi badan itu Dr Wan Ilias Wan Salleh digantung tugas berkuatkuasa serta merta sehingga siasatan mengenainya selesai.




No comments: