» » 'Siri tangkapan di bawah Akta Hasutan jadikan Malaysia negara polis'


Putrajaya kehilangan moral dan hak menggelar Malaysia sebuah negara demokratik berikut tindakan siasatan berhubungan hasutan terhadap peguam Edmund Bon, kata bekas Pengerusi Majlis Peguam dan aktivis Datuk S. Ambiga.

"Demokrasi apakah yang Putrajaya laung dan katakan jika peguam tidak boleh memberi pendapat mereka?" katanya ketika dihubungi.

"Putrajaya melayan rakyat biasa dengan teruk, dan orang-orang ini bukanlah penjenayah. Pada pandangan saya, tiada satu pun tuduhan hasutan perlu dibangkitkan."

Ambiga, yang merupakan penaung Negaraku berkata, Putrajaya berjaya menjadikan Malaysia sebuah negara polis berikutan siasatan berkaitan hasutan terhadap Bon sambil menambah pentadbiran sudah semakin tidak munasabah.

"Saya menyeru semua yang mempunyai akses kepada pentadbiran untuk menasihati mereka agar berfikir dengan berhati-hati apa yang mereka lakukan kepada negara yang kita semua kasihi ini," katanya.

Semalam, Bon menjadi individu terbaru yang disiasat di bawah Akta Hasutan kerana mengatakan orang bukan Islam tidak tertakluk kepada fatwa atau Mahkamah Syariah.

Beliau menyertai beberapa ahli politik pembangkang, seorang profesor undang-undang, portal berita Malaysiakini dan seorang wartawan, dan juga dua pendakwah Islam yang turut sama didakwa atau sedang disiasat di bawah Akta 1948.

Tahun lepas, mendiang Karpal Singh, Ahli Parlimen Padang Serai N. Surendran, Ahli Parlimen Batu Tian Chua dan Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad turut didakwa di bawah undang-undang era penjajah ini.

Peguam hak asasi manusia dan jenayah Andrew Khoo Chin Hock berkata, apa yang Bon katakan bukanlah hasutan dan beliau hanya memperkatakan kedudukan undang-undang dan Perlembagaan yang wujud di Malaysia.

"Jika suatu hari nanti menyatakan kedudukan Perlembagaan di Malaysia dikatakan menghasut, maka kita semua akan didapati bersalah kerana melakukan hasutan," Khoo memberitahu The Malaysian Insider.

Bon dalam sebuah rencana yang disiarkan pada awal tahun ini berkata: "Dikri dan fatwa tidak boleh digunakan terhadap orang bukan Islam kerana mereka melanggar hak-hak undang-undang dan agama mereka."

Beliau berkata demikian ketika mengulas perintah Majlis Fatwa Kebangsaan mengenai penggunaan kalimah Allah, yang mengatakan ia adalah hak eksklusif umat Islam.

Pengasas bersama Lawyers for Liberty Eric Paulsen berkata, pihak berkuasa nampaknya menentukan beberapa isu-isu tertentu yang tidak boleh disentuh.

"Bangsa, agama dan raja nampaknya tidak boleh disentuh dan sesiapa yang menyentuh isu-isu sensitif ini menjadi sasaran.

"Ia agak sukar dibayangkan apabila orang-orang seperti Karpal, Surendran, Azmi dan kini Bon sedang disiasat atau didakwa dengan hasutan."

Eric mempersoalkan sifat hasutan berkata, tiada pergolakan besar disebabkan oleh kenyataan yang dibuat oleh ahli Parlimen pembangkang.

"Mereka tidak menghasut kepada pemberontakan atau menyebabkan masalah, yang merupakan moral sebenar hasutan," kata Eric.

"Kini, peguam juga menjadi sasaran kerana memberi pandangan mereka. Ini adalah serangan yang serius terhadap peranan peguam.

"Mereka mesti dibenarkan melakukan kerja mereka dan berhujah mengikut undang-undang.

“Mereka mesti dibenarkan memberi pandangan tanpa rasa takut atau pilih kasih."

sumber

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .