Timbalan perdana menteri berkata jawatankuasa itu boleh menyiasat dari aspek perundangan atau akaun Petronas sendiri sama ada syarikat petroleum negara itu memiliki RM12 bilion peruntukan kepada Kelantan.
"Saya cabar PAS supaya mereka menubuhkan jawatankuasa menyiasat perkara sebenar baik dari sudut perlembagaan, akta sedia ada, prestasi Petronas untuk diteliti di mana perakaunan Petronas didapati ada jumlah RM12 bilion yang tertunggak.
"Saya percaya ini tuduhan agak serius. Saya anggap ini satu fitnah kerana Petronas syarikat milik kerajaan, banyak syarikat di bawahnya milik awam. Mereka mengamalkan sikap ketelusan.
"Sebab itu apa yang diputuskan royalti adalah pertimbangan kerajaan BN walaupun dari segi undang-undang, kita tubuh jawatankuasa untuk meneliti tuntutan ini, didapati kawasan yang terlibat jauh lebih daripada 3 batu nautika dan ikut perlembagaan, di luar kawasan itu milik kerajaan pusat," katanya dalam satu sidang media selepas penamaan calon pilihan raya kecil Pengkalan Kubor di Tumpat, Kelantan.
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata pada minggu lalu, kerajaan pusat akan menyalurkan sebahagian daripada wang ihsan secara terus kepada kerajaan negeri Kelantan melalui Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) mulai tahun hadapan.
Katanya, kaedah agihan terbaharu itu bagi menjaga kebajikan rakyat negeri itu terutama dalam bidang pendidikan.
"Kerajaan pusat meluluskan pemberian wang ihsan kira-kira RM50 juta setahun kepada Kelantan sejak lebih lima tahun lepas.
"Agihan itu sebelum ini disalurkan melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri," katanya seperti dilaporkan Bernama.
Muhyiddin berkata, PAS seharusnya berani tampil dengan jawatankuasa royalti tersebut dan tidak hanya menjadikannya sebagai modal untuk berpolitik.
Katanya, kerajaan pusat tidak pernah sesekali menipu rakyat dalam hal wang ihsan kerana segalanya sudah diperjelaskan.
"Mereka juga boleh ambil tindakan sewajarnya. Bukan sahaja mencabar dari segi politik tetapi meneliti sebaik-baiknya. Saya tidak fikir kerajaan bertanggungjawab akan menipu rakyat Kelantan.
"Saya berasa bersalah tetapi tuduhan yang dibuat PAS berkali-kali itu memperlihatkan BN yang bersalah. Kalau PAS betul-betul parti Islam, dia buat cara Islam. Jangan buat tohmahan kerana berdosa besar," katanya.
Timbalan pengerusi BN itu juga mahu mendengar jawapan PAS terhadap cabaran yang diberikan dan jangan hanya berlindung di sebalik angka RM12 bilion.
"Saya nak cabar mereka kalau betul nak, teliti betul-betul. Saya nak dengar apa jawapan mereka.
"Jika tersilap ada RM1 bilion tak bayar. Beritahu kita. Jangan buat tuduhan. Dia kata RM12 bilion mana? Petronas sendiri dah nafikan. Mana ada jumlah sebanyak itu," katanya.
sumber
No comments: