» » 'Sejauh mana BR1M membasmi kemiskinan'


Institut Rakyat berpendirian pendekatan kerajaan membasmi kemiskinan dengan bantuan langsung tunai Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) simplistik kerana kemiskinan wujud dalam pelbagai dimensi.

Maka BR1M tidak dapat membasmi kemiskinan dalam jangka pendek dan akan mewujudkan eksploitasi politik dan kebergantungan di mana mereka yang susah terdedah kepada risiko lebih tinggi dalam keadaan negara mengalami krisis fiskal.

Program pembasmian kemiskinan yang berkesan sewarjarnya menyeluruh dan berpaksikan konsep "keluar daripada kemiskinan"(graduation).

Belanjawan 2015 bakal menyaksikan pertambahan BR1M ke arah RM1,200 bagi keluarga berpendapatan bawah RM3,000 dan RM600 bagi golongan bujang berpendapatan bawah RM2,000.

Walaupun jumlah yang bakal ditambah masih belum ditetapkan, kerajaan mengumumkan tambahan RM300 akan diberikan kepada jumlah sedia ada sebagai bayaran khas GST 2015.

Pelbagai laporan menunjukkan BR1M menelan sejumlah RM9.4 bilion sejak 2012, RM1.8 bilion (2012), RM3 bilion (2013) dan RM4.6 (2014). Mereka yang mendapat manfaat RM500 adalah 3.4 juta isi rumah pada 2012; dan 7 juta isi rumah dan individu bujang yang berpendapatan RM3,000 dan RM2,000 ke bawah sebulan pada 2013. Pada 2014, jumlah penerima bertambah kepada 7.9 juta disebabkan pertambahan kategori isi rumah yang berpendapatan RM4,000 ke bawah.

Dalam Persidangan Meja Bulat Belia tentang BR1M yang dianjurkan Kementerian Belia dan Sukan pada 19 Julai lalu, wakil daripada Kementerian Kewangan Razali Mohamad menerangkan kepada lebih 100 peserta yang terdiri daripada mahasiswa, ahli akademik dan wakil pertubuhan bukan kerajaan perlunya BR1M bagi mengurangkan beban rakyat dan melengkapi program rasionalisasi subsidi ke arah pemberian bersasar.

Menurut ketua Seksyen Dasar dari Pejabat Belanjawan itu, permohonan diluluskan berdasarkan syarat pendapatan bulanan isi rumah RM3,000 ke bawah, bukannya kaum. Pada tahun depan, BR1M dijangka disalurkan dalam bentuk tunai dan barangan bagi meringankan beban keluarga miskin.

Dalam keadaan perolehan data yang terhad, Institut Rakyat mengambil pendekatan mengupas beberapa isu berkaitan BR1M dalam realiti sosio-ekonomi dan konteks pembasmian kemiskinan bagi menawarkan perspektif alternatif dalam menilai kerelevanan program ini mengurangkan kemiskinan.

Pertama, BR1M dan dasar pembangunan negara - BR1M dikatakan tidak mengenal warna kulit, namun dasar pembangunan negara dan pelbagai urusan awam masih berlandaskan kaum, umpamanya sistem kuota dalam institut pengajian tinggi awam, biasiswa dan ekuiti ekonomi negara.

Ini merupakan satu kontradiksi yang besar dalam hala tuju pembangunan negara. Dasar kuota kaum bertujuan membantu golongan Bumiputera, namun realitinya adalah hanya segelintir Bumiputera Melayu tertentu mendapat faedah.

Majoriti Bumiputera khususnya Bumiputera bukan Melayu seperti Orang Asli di Semenanjung dan pribumi di Sabah dan Sarawak masih tercicir dalam arus pembangunan. Walaupun BR1M diberikan kepada mereka yang miskin tanpa mengenal warna kulit, namun pada dasarnya BR1M tidak dapat mengubah realiti ketidaksaksamaan di bawah dasar pembangunan yang berpaksikan kaum.

Kedua, BR1M dan kemiskinan - mengikut statistik 2012, dianggarkan 2.6 juta isi rumah atau 38% daripada jumlah isi rumah di Malaysia berpendapatan RM3,000 ke bawah, iaitu syarat kelayakan bagi memohon BR1M. Tetapi, kerajaan masih menggunakan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) RM830 ke bawah, maka hanya 230, 000 isi rumah yang mencatatkan 1.7% kadar kemiskinan.

Berdasarkan PGK yang sedia ada, perbelanjaan harian seseorang dianggarkan RM6 sehari. Angka ini amat tidak realistik jika dibandingkan dengan BR1M yang menganggarkan perbelanjaan harian seseorang RM20 sehari. Seandainya kerajaan menggunakan RM3,000 sebagai PGK baru, kadar kemiskinan semestinya akan melebihi 1.7%.

Namun BR1M tidak akan dapat memberi impak kepada dasar pembasmian kemiskinan selagi kerajaan masih menggunakan PGK sedia ada semata-matanya untuk memberi gambaran positif tentang keadaan kemiskinan dalam negara ini.

Ketiga, BR1M dan hutang isi rumah - statistik Bank Negara Malaysia menunjukkan jumlah hutang isi rumah meningkat dari 60% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2008 kepada 86.8% pada 2013, antara yang tertinggi di Asia. Apa yang lebih merisaukan adalah pinjaman pembelian rumah merupakan jenis pinjaman tertinggi iaitu 44.2% diikuti dengan pembelian kenderaan 17.6%.

Impak BR1M kepada isi rumah yang berpendapatan RM500 sebulan mungkin berbeza dengan yang berpendapatan RM2,500 sebulan, namun hakikatnya BR1M adalah pemberian one-off yang menyumbang kepada pertambahan pendapatan sebulan saja, bukannya membantu isi rumah "keluar daripada kemiskinan".

Malah kemiskinan sesebuah isi rumah mungkin disebabkan pengangguran, keuzuran dan kekurangan kemudahan sosial seperti pendidikan, pengangkutan, perumahan dan perubatan, yang semestinya tidak dapat diatasi dengan pemberian tunai one-off.

Keempat, BR1M dan rasionalisasi subsidi - BR1M merupakan salah satu strategi kerajaan bagi melengkapi program rasionalisasi subsidi ke arah pemberian bersasar. Rasionalisasi subsidi pada asasnya tidak salah daripada segi moral, namun jika subsidi untuk membantu rakyat dikurangkan tetapi projek mega dan industri utama dimonopoli syarikat kroni tanpa tender terbuka, maka ianya adalah tidak adil dan opresif.

Kenaikan harga minyak sebanyak 20 sen dijangka menambah secara purata perbelanjaan tambahan sebanyak RM63 sebulan atau RM752 setahun . Selain belanja petrol dan diesel, rakyat juga terpaksa berhadapan dengan masalah kenaikan harga barang yang mengakibatkan jumlah tanggungan melebihi RM500 BR1M. Sebaliknya anggaran subsidi gas kepada 26 penjana bebas (IPP) di seluruh negara bernilai sebanyak RM8.1 bilion setiap tahun.

Sesungguhnya pendekatan BR1M mendedahkan dua kontradiksi dengan sistem sosio-ekonomi yang sedia ada iaitu dasar pembangunan yang masih berlandaskan kaum dan statistik nasional berkenaan kemiskinan yang tidak realistik. Dalam kontradiksi ini, BR1M juga tidak dapat membantu isi rumah yang miskin keluar daripada kemiskinan kerana bantuan adalah terlalu sedikit dan bersifat sementara.

Sebaliknya, BR1M akan mewujudkan dua risiko:

1) kebergantungan (dependency) - golongan miskin dan tegar miskin tidak berupaya untuk keluar daripada kemiskinan dan akan hilang sumber jika negara mengalami krisis fiskal;

2) eksploitasi politik (clientelism) - BR1M sebagai alat politik golongan pemerintah untuk mengekalkan status quo dan seterusnya menyekat potensi ekonomi negara dalam jangka masa panjang.


Hakikatnya, bagi keluarga yang susah, BR1M mungkin merupakan satu bentuk bantuan langsung tunai yang memberi kelegaan sementara. Namun selepas kelegaan sementara, rakyat kembali dihimpit kos sara hidup yang tinggi. Maka Institut Rakyat beranggapan kemiskinan bukan sekadar quantitatif daripada segi ekonomi, tetapi juga kualitatif dalam pelbagai dimensi.

Pada dasarnya kemiskinan terhasil daripada halangan struktural yang mungkin disebabkan jantina, kaum, kelas, pendidikan mahupun geografi, sehingga menyekat akses seseorang kepada sumber kekayaan atau peluang yang saksama. Oleh itu strategi pertambahan pendapatan secara langsung melalui BR1M adalah tidak memadai dalam usaha membasmi kemiskinan. BR1M bukannya ubat mujarab dalam pembasmian kemiskinan.

Sebagai alternatif, pendekatan lebih tersasar dan berpaksikan konsep "keluar daripada kemiskinan" (graduation) adalah asas kejayaan suatu program pembasmian kemiskinan. Dalam satu persidangan "Graduation and Social Protection" di Rwanda pada Mei lalu, pakar perlindungan sosial (social protection) Stephen Devereux dalam ucapan penutupnya menegaskan konsep "keluar daripada kemiskinan" fokus untuk mewujudkan rakyat yang aktif dan membangunkan kelas menengah, bukannya untuk mewujudkan lebih banyak lagi program atau lebih ramai penerima .

Untuk jangka panjang, kerajaan perlu menyediakan kemudahan sosial dan menjamin keadilan sosial bagi membantu golongan miskin, khususnya miskin tegar, keluar daripada kemiskinan. Dengan kerjasama sektor swasta, kerajaan dapat menyediakan kemudahan kewangan kepada golongan miskin agar mereka berupaya untuk menjana pendapatan sendiri dan berdikari.

Misalnya dalam manifesto Pakatan Rakyat, dasar dan program seperti pendidikan percuma untuk semua, rumah selesa mampu milik, Skim Perintis Rakyat, caruman wanita Malaysia, tabung inovasi, rombakan insentif percukaian dan gaji minima digariskan untuk mengatasi halangan struktural kemiskinan .

Sesungguhnya bantuan langsung tunai BR1M gagal memberi gambaran bagaimana seseorang penerima boleh keluar daripada kemiskinan dalam suatu tempoh yang tertentu, malah ia juga menimbulkan persoalan sama ada program ini dapat membantu golongan miskin tegar yang benar-benar susah.

Persoalan yang lebih penting adalah jika BR1M dibatalkan dalam keadaan negara mengalami krisis fiskal, apakah penerima dapat berdikari dan tidak terjatuh balik ke dalam kancah kemiskinan. Jika tidak, maka BR1M bagaikan umpan golongan pemerintah untuk meraih sokongan politik dengan mengekalkan golongan miskin dalam kemiskinan.

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .