» » 'Orang Melayu gagal'


Sekali lagi dalam pusingan kedua - tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menyapu keluar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membuka lembaran ulangan kritikan beliau ke atas Melayu.

Sebelum ini, tindakan yang hampir sama dibuat untuk menendang keluar Tun Abdullah Ahmad Badawi dengan menceritakan dan menyerang kegagalan Abdullah maka cerita Melayu gagal terselit keluar daripada mulut Dr Mahathir.

Melayu malas dan Melayu tidak tahu malu merupakan kritikan pedas. Kalau dahulu kritikan ini boleh dikira sebagai cabaran kepada Melayu tetapi serangan berkali-kali seperti ini bukan boleh dianggap sebagai cabaran malah boleh dianggap sebagai membunuh moral orang Melayu.

Dalam nada yang sama Dr Mahathir akan turut mengatakan kegagalan beliau dalam usaha meningkatkan pencapaian Melayu, selama 22 tahun menerajui negara sebagai erdana menteri Malaysia.

Dr Mahathir terus mengakui beliau gagal. Sejak meletak jawatan sebagai perdana menteri Malaysia sehingga ke hari ini, melalui 2 perdana menteri, Dr Mahathir masih menyanyikan lagu yang serupa beliau gagal untuk Melayu dan kegagalan beliau untuk Melayu kerana Melayu itu sendiri iaitu sikap Melayu dan perangai Melayu.

Oleh itu sinopsis Dr Mahathir ialah beliau melakukan yang terbaik, membuka peluang luas untuk Melayu tetapi Melayu itu sendiri mungkin bangsat, tidak tahu malu, pemalas dan bersikap buruk maka Melayu itu terus mundur dan beliau tidak boleh dipersalahkan.

Dr Mahathir mahu mengatakan beliau dalam menerajui Melayu melakukan segala-galanya tetapi kerana Melayu itu Melayu maka semuanya gagal dan kegagalan itu adalah kerana Melayu dan bukan polisi dan tindakan beliau sewaktu memerintah.

Namun dalam kemelut kita berfikir mengenai apa yang Dr Mahathir katakan, mengenai Melayu dan kegagalan Melayu, sikap Melayu, kemalasan Melayu, kekurangan integriti serta kemunduran Melayu, beliau harus memecahkan Melayu itu kepada beberapa kategori - Melayu sampingan - yang dikatakan pelajar Melayu khususnya lelaki yang gagal ke universiti, Melayu rempit dengan Melayu yang diberi ruang dan peluang beliau olehnya dalam zaman pemerintahannya dengan Melayu elitis yang jadi ali baba dengan perolehan tender tanpa bida, memegang berpuluh syarikat daripada kelas F ke kelas A tetapi tidak tahu bekerja serta Melayu yang berkhidmat dalam kerajaan termasuk dalam bidang ketenteraan, kepolisan dan guru.

Melayu mana yang sebenarnya pemalas - penoreh yang menoreh tetapi tidak kaya-kaya, peserta Felda yang masih di situ dengan Felda berjaya meloncat dengan kekayaan dan peniaga kecil yang rosak institusi kekeluargaan kerana kemiskinan.

Tidak kurang juga Melayu yang membuka pintu masuk untuk pekerja asing - untuk menyaingi warga negara agar akhirnya warganegara dibiar bersaing dengan kedudukan yang berat sebelah. Melayu yang bagaimana dikatakan Dr Mahathir malas, tidak tahu malu bila gagal sebagaimana beliau gagal dalam membentuk Melayu.

Sebenarnya sudah sampai masanya kita benar-benar meneliti apa yang dikatakan Dr Mahathir dan membuat pengkajian semula pemerintahan beliau dalam konteks menjayakan Melayu.

Menceritakan pembukaan restoran dengan dana yang besar adalah berbeza dengan membuka tapak meja lipat untuk menjual nasi lemak agar anak dapat ke sekolah. Berbeza Melayu yang diwariskan kemiskinan dengan Melayu yang diwariskan kekayaan. Berbeza Melayu yang duduk menceritakan apa yang Melayu patut lakukan dengan melakukan sendiri.

Mungkin sudah sampai masanya kita menolak cerita Melayu yang dikatakan pemalas, tidak beretika , berdisiplin dan Melayu tidak tahu malu dan mula membicarakan kegagalan Dr Mahathir yang sentiasa disebut-sebut beliau sendiri agar kita tidak lagi terdesak mengalihkan kegagalan kita kepada sikap Melayu.

Kita perlu mengkaji apa yang diwarisi kepada Melayu oleh Dr Mahathir dalam pemerintahannya, apa yang diwarisi oleh beliau dalam Umno serta kepimpinan Umno dan apa yang berlaku dalam struktur kemasyarakatan sehingga kemiskinan itu adalah keadaan yang sinonim dengan Melayu sewaktu beliau memerintah.

Kita perlu menyingkap kebenaran sejarah - tidak disorok-sorok dengan kebesaran seseorang maka di situ kebenarannya. Mungkin sikap Melayu yang dibentuk oleh Melayu yang memerintah dan mentadbir adalah apa yang ada sekarang.

Mungkin sikap Melayu hari ini, yang belum dapat kita pastikan adalah produk sisipan hasil kepimpinan Dr Mahathir selama 22 tahun. Mungkin hari ini kita tidak sepatutnya menceritakan keagungan kerana kebesaran darjat dan pangkat tetapi kita mula bersikap terbuka menyatakan kegagalan dan membicarakan kegagalan Dr Mahathir sendiri.

Mungkin perubahan Melayu atau sikap Melayu dapat dicapai dengan membicarakan secara jujur dan terbuka, bukan setakat mengagungkan yang kuat dan berkuasa, di situ letak kebenaran dan keadilan. Kegagalan Dr Mahathir perlu dinilai secara terbuka dan bukan hanya menerima alasan sikap Melayu.

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .