Memandangkan usianya yang kian meningkat, dia merasakan sudah tiba masanya dia ke arah berhijab. Inilah gaya dan penampilan Rohana.
Dia turut memberitahu perubahan imejnya itu berubah secara perlahan-lahan sejak Ramadan lalu dan ia bukan atas paksaan dari mana-mana pihak.
“Penampilan saya yang terbaru ini bukanlah bermusim. Sejujurnya saya kena sedar bahawa usia saya semakin meningkat dan hampir mencecah 60 tahun. Tambahan pula anak-anak saya pun sudah besar.
“Kalau kita lihat ramai anak-anak muda di kalangan artis yang sudah mengenakan hijab, takkan saya yang sudah berumur ini tidak pakai. Bagi saya memang sudah tiba masanya saya ke arah itu,” katanya kepada Mangga Online ketika ditemui pada rakaman muzik-muzik di Khadijah’s Kitchen, PV128, Setapak, baru-baru ini.
Jelas penyanyi yang popular dengan lagu Rayuanku itu, biarpun penampilannya kadang-kadang menampakkan leher, dia memberitahu dirinya masih lagi belajar dan dalam proses memperbaiki diri ke arah yang lebih baik.
Ditanya mengenai penampilan anak muda di kalangan artis yang sering mendapat perhatian dan kritikan di laman sosial Instagram, dia memberitahu penerimaan dan pandangan orang ramai pada zaman dahulu dan sekarang sangat berbeza.
“Dulu mana ada laman sosial online seperti sekarang. Kalau pakai skirt pendek dan baju seksi pun orang tidak ambil peduli.
“Anak saya, Kila pun terkejut melihat penampilan saya yang seksi pada zaman dahulu.
“Zaman sekarang memang berbeza. Kalau tidak berhati-hati menjaga tingkah laku, pasti kita akan dihentam dan dikritik terutamanya mereka yang bergelar artis,” ujarnya.
Pernah dilabel penagih dadah
Perjalanannya sebagai seorang anak seni ketika dulu bukanlah mudah. Dia dihujani pelbagai ujian dalam usaha menjadi seorang penyanyi.
Meskipun dikurniakan suara yang cukup berbakat, dia akui dirinya tidaklah secantik penyanyi seangkatannya pada suatu ketika dahulu.
“Sejujurnya pembabitan saya dalam industri muzik pada mulanya sangat sukar. Walaupun saya ada bakat, tetapi saya ada satu kekurangan iaitu rupa. Memang saya akui saya tidaklah cantik mana.
“Kalau dulu, majalah dan surat khabar akan pilih penyanyi yang mempunyai rupa paras yang cantik saja. Album saya pada ketika dulu pun susah mendapat sambuatan. Saya pernah menjadi juara bintang RTM, namun orang tetap tidak menghargai bakat saya.
“Saya pernah dikeji dan dilabel sebagai penagih dadah kerana sewaktu itu saya memang kurus. Saya memang tidak ambil pusing tentag hal itu kerana hanya mahu fokus dalam bidang nyanyian.
“Alhamdulillah, sekarang ini saya bersyukur dengan segala yang ada. Walaupun nama saya tidak segah mana, namun saya tetap berpuas hati. Bagi saya, segala impian telah tercapai,” ujar Rohana.
sumber






No comments: