» » 'Putrajaya silap guna Akta Hasutan untuk takutkan rakyat'


Putrajaya melakukan kesilapan apabila menggunakan Akta Hasutan untuk menakutkan rakyat, termasuk menghukum aktivis Adam Adli Abdul Halim sehingga setahun penjara, kata Ketua Pemuda PKR Nik Nazmi Nik Ahmad.

Nik Nazmi berkata, rakyat sebaliknya akan terus bangkit bersatu menolak undang-undang itu sehingga ia dimansuhkan.

"Kerajaan tersilap sekiranya mereka memikirkan pendakwaan besar-besaran mengikut akta ini akan menakut-nakutkan rakyat.

"Malah, sebagaimana ditunjukkan dalam kempen #MansuhAktaHasutan selama ini, rakyat pelbagai lapisan dan latar belakang bangkit bersatu menolak undang-undang ini dan akan terus bergerak sehingga undang-undang ini dimansuhkan sama sekali," katanya dalam kenyataan hari ini.

Timbalan speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor itu mengulas keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pagi tadi mendapati Adam Adli bersalah mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan pada tahun lalu.

Menyifatkan keputusan itu sebagai mengejutkan, Nik Nazmi berkata ia juga menggambarkan kerakusan kerajaan Barisan Nasional (BN) menyekat segala bentuk pandangan kritis yang selari dengan Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan dan sepatutnya diterima sistem demokrasi.

Katanya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebelum ini berjanji memansuhkan Akta Hasutan sebagai sebahagian agenda transformasi beliau.

Tetapi, trend terbaru menunjukkan semakin hari, Malaysia semakin menjadi negara polis.

"Lebih malang lagi, siri pendakwaan dan sabitan yang berlaku ini memuncak ketika negara menyambut Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia," katanya.

Bekas aktivis mahasiswa itu pada satu forum 13 Mei tahun lalu dilaporkan mencadangkan diadakan demonstrasi jalanan, dengan berkata:“Pilihan raya tidak akan menyingkirkan kerajaan, kuasa rakyat yang akan lakukannya.”

Sebelum ini, bekas mahasiswa Muhammad Safwan Anang dan ahli politik P Uthayakumar juga dijatuhi hukuman bersalah mengikut Akta Hasutan.

Safwan dihukum penjara 10 bulan kerana mengeluarkan kenyataan hasutan pada forum 13 Mei yang sama dan kini sedang menunggu rayuan ikat jamin.

Uthayakumar pula masih menjalani hukuman penjara 24 bulan di penjara Kajang selepas didapati bersalah pada Jun tahun lepas kerana menerbitkan bahan berunsurkan 'hasutan' pada 2007.

Manakala, sekurang-kurangnya 8 orang termasuk golongan profesional dan wakil rakyat bakal berdepan risiko sama selepas pendakwaan kes dibuat terhadap mereka sejak Ogos lalu.

Mereka adalah pendakwah Wan Ji Wan Hussin, peguam Chow Mun Fai, pelajar universiti Ali Abdul Jalil, ahli politik David Orok, ahli akademik Dr Azmi Sharom, Surendran yang juga ahli Parlimen Padang Serai, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad, serta Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Delima RSN Rayer.

sumber

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .