Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan akan mengambil tindakan tegas terhadap individu, kumpulan kecil serta pengguna media sosial yang cuba menghasut atau membawa Sabah dan Sarawak keluar dari Malaysia.
Beliau berkata pihak terbabit bakal berdepan tindakan undang-undang seperti Akta Hasutan 1948 dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).
"Kami memandang serius mengenai perkara itu, dan sesiapa sahaja yang didapati cuba menghasut atau membawa Sabah dan Sarawak untuk keluar dari Malaysia pasti dikenakan hukuman," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Silam di Lahad Datu hari ini.
Zahid berkata pihaknya turut memberi jaminan akan mempertahan kedaulatan dan keamanan di Sabah.
"Sebagai Menteri Dalam Negeri yang juga bertanggungjawab terhadap Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), saya tidak akan membiarkan siapa sahaja yang cuba menceroboh dan menghancurkan keharmonian dan keamanan rakyat Sabah," katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata bagi memantapkan lagi kawalan keselamatan di pantai timur sabah, pihaknya akan membina sebuah markas Polis Gerakan Am di Kunak.
"Peruntukan membuat markas itu disediakan dan ia akan dibina dalam masa terdekat," katanya.
Terdahulu, ketika berucap dalam mesyuarat itu, Zahid yang juga naib presiden Umno, berkata pemimpin parti perlu turun padang tanpa mengira masa dan tempat bagi membantu masyarakat di kawasan masing-masing.
Beliau berkata perkara itu penting bagi memastikan rakyat sentiasa menyokong dan berdiri teguh di bawah kerajaan pada masa ini.
"Sebagai pemimpin, kita perlu laksanakan tanggungjawab untuk membantu rakyat...
"Sebagai pemimpin, kita juga jangan bersikap sombong dan hanya turun padang ketika musim pilihan raya," katanya.
Turut hadir Ketua Umno Bahagian Silam Datuk Mohd Yusof Apdal.
sumber
No comments: