Ekoran daripada pendakwaan besar-besaran Putrajaya mengikut Akta Hasutan, rata-rata peserta forum "Masa Depan Malaysia" meminta diskusi tersebut tidak dilaporkan media.
Ketua Pegawai Eksekutif Pergerakan Kesederhanaan Global (GMM) Datuk Saifuddin Abdullah berkata, penggunaan Akta Hasutan di negara ini menyebabkan ramai berada dalam keadaan sukar.
"Malangnya kita tinggal di negara yang masih menguna pakai Akta Hasutan dan kadang kala orang salah tafsir,
"Saya tahu wartawan membuat laporan berdasarkan apa yang anda dengar dan lihat tetapi pembaca tidak.
"Sebab itu ada sesetengah individu mendapat masalah terhadap apa yang dikatakan meskipun mempunyai niat baik," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Perundingan Masa Depan Malaysia di Kuala Lumpur hari ini.
Beliau berkata, atas alasan itu kebanyakan peserta forum tersebut berasa tidak selesa atau selamat sekiranya media meneruskan laporan diskusi tersebut.
Forum berkenaan memulakan siri pertamanya hari ini dengan dihadiri 30 badan bukan kerajaan dan intipatinya akan dirumuskan dalam satu kertas kerja dipanggil "Dokumen Rakyat" yang bakal dihantar kepada kerajaan.
Bekas timbalan menteri Pendidikan Tinggi itu berkata, Dokumen Rakyat tersebut diharap dapat menjadi panduan kepada kerajaan dalam menentukan hala tuju negara terutamanya selepas Wawasan 2020.
"Matlamat Dokumen Rakyat ini adalah untuk dihantarkan kepada kerajaan. Ia berkenaan pandangan mereka yang dapat dijadikan panduan dan dasar negara kepada kerajaan," katanya.
Beliau berkata, program ini akan diteruskan dengan beberapa siri perundingan di beberapa buah negeri dan ini termasuk Sabah dan Sarawak.
"Kita akan meneruskan siri ini di beberapa buah negeri termasuk Kuching dan Kota Kinabalu di mana pertemuan ini tidak hanya melalui diskusi namun dalam bentuk temubual, kajian, termasuk secara online," katanya.
Menurut Saifuddin, bagi merealisasikan program itu, satu laman Facebook "Masa Depan Malaysia" dan #MasaDepanMalaysia di Twitter dilancarkan bertujuan mengumpul sebanyak yang mungkin pandangan mengenai hala tuju negara ini.
Akuinya bukan kerja mudah menghasilkan dokumen tersebut pada masa sama berdepan dengan persoalan yang sukar.
"Cabaran kita ialah untuk meletakkan dalam kertas, kerana ia soalan sukar, sebagai contoh penggunaan bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan, meskipun kerajaan sudah membuat keputusan namun hasil perundingan mempunyai pandangan berbeza kita akan tetap gariskan syor tersebut," katanya
Beliau juga merumuskan beberapa perkara yang ditekankan dalam perbincangan tertutup tersebut ialah keperluan masyarakat untuk bertanyakan sukar atau dianggap sebagai sensitif.
"Kebanyakan peserta bertanya bagaimana untuk bertanyakan soalan sukar kerana ia perlu bagi menentukan masa depan untuk melihat apakah yang kita lakukan ini betul dan seterusnya perkasa ke arah matlamat itu," katanya.
Katanya, terdapat perkembangan positif dapat dilihat dalam perundingan secara tertutup tersebut kerana banyak perkara sensitif yang ditekankan namun dapat dibangkitkan dengan cara sopan tanpa menyinggung perasaan mana-mana kaum bangsa, umur juga jantina.
"Kerana itu saya fikir sebenarnya langsung tidak ada isu sensitif sekiranya ia ditangani dengan cara betul. Kita boleh jadikan ia daripada sensitif kepada tidak sensitif," katanya.
Beliau juga berkata, perundingan tersebut turut membincangkan definasi matlamat sebenar negara termasuk memahami Perlembagaan Persekutuan dan perkongsian nilai seperti hak asasi dan integriti.
Tambahnya, dalam perundingan itu juga memberi perhatian kepada pemahaman masyarakat tentang polisi luar negara memandangkan negara bakal memegang kedudukan Pengerusi Asia bagi Majlis Keselamatan Negara Bersatu.
Saifuddin berkata program ini juga menampilkan suara kumpulan diwakili anak muda seperti Buku Jalanan, Dapur Jalanan, Sudut Kiri, Sekolah Undang-Undang Rakyat dan sebagainya.
Beliau berkata daripada perundingan itu, jelas anak muda sebenarnya hanya mahu memperjuangkan kesaksamaan masyarakat di negara ini iaitu mendesak kerajaan mengubah polisi diskriminasi tidak adil.
"Kita kena kumpul suara mereka. Ini adalah cubaan untuk mendengar kerana ia diakui sendiri kerajaan yang menyatakan hari mereka tahu segalanya sudah berakhir.
"Dan suara anak muda inilah yang kita perlu kumpul, pandangan mereka tentang masa depan. Ia dapat dijadikan satu saluran," katanya.
Selain itu katanya, dokumen ini juga akan menjadi satu kesinambungan kepada Wawasan 2020.
"Umumnya mana-mana perdana menteri selepas Dr Mahathir berpegang pada Wawasan 2020 kita semua berpegang untuk merealisasikan ke arah itu.
"Namun apa jadi selepas itu? Dan ini kita cuba sampaikan ada sebab kenapa wujudnya gerakan seperi Negara-Ku, kumpulan anak muda lain kerana mereka sudah mula memikirkan," katanya.




No comments: