Pelakon yang dulunya popular dengan drama Anak Pontianak itu akui agak berang dengan gosip tersebut kerana ianya tidak benar sama sekali.
Terkejut dengan berita itu, Zarina merasakan dirinya tidak diberikan peluang untuk menjelaskan perkara sebenar kerana berita tersebut tersebar tanpa pengesahan dan kenyataan daripadanya.
“Sebelum ini orang kata saya bercinta dengan orang Negro, kali ini dengar berita mengenai saya sudah berkahwin pula. Kalau betullah saya sudah berkahwin, mana suami saya? Saya pun nak tahu juga siapa suami saya.
“Ramai rakan-rakan bertanyakan mengenai hal itu dan memberitahu kenapa saya tidak menjemput mereka ke majlis kahwin. Masalahnya perkara itu memang tidak benar.
“Sejujurnya saya tidak tahu bagaimana orang boleh mereka cerita sampai begitu sekali. Memang saya rasa agak marah kalau cerita tidak betul mengenai diri saya tersebar,” jelas Zarina ketika ditemui pada malam tayangan filem Amir & Loqman Pergi Ke Laut di e-Curve, Damansara semalam.
Berhubung dengan isu tersebut, Zarina menjelaskan bahawa tiada seorang pun bertanyakan terlebih dahulu mengenai hal itu.
Dia turut kesal dengan tindakan sesetengah wartawan yang masih menulis perkara tidak benar mengenai dirinya tanpa merujuk kepadanya.
“Bukannya saya nak salahkan wartawan, tetapi kenapa masih lagi tulis walaupun tahu cerita itu tak betul. Tak salah kalau tanya saya terlebih dahulu mengenainya.
“Saya faham itu adalah kerja wartawan dan itu jugalah orang nak baca. Rasanya saya seperti artis paling menarik untuk dihentam,” katanya yang sudah bosan dengan kontroversi mengenai dirinya di dada akhbar dan sosial media.
Watak menggoda
Sementara itu, Zarina kini sibuk mempromosikan filem lakonannya yang terbaru, Amir & Loqman Pergi Ke Laut. Pelakon berusia 27 tahun itu diberi kepercayaan sepenuhnya oleh pengarah Mamat Khalid untuk membawa watak perempuan seksi.
Meskipun Zarina mengetahui persepsi orang ramai mengenai dirinya yang dikatakan seksi dan menggoda, dia langsung tidak kisah dengan tanggapan sebegitu.
“Saya memang percaya dengan abang Mamat Khalid. Dia tahu siapa yang paling sesuai memegang watak perempuan menggoda dalam filem itu. Apa yang penting adalah saya telah berikan yang terbaik.
“Saya akui memang agak sukar dan malu dalam babak intim bersama Sofi Jikan. Bagi saya itu adalah babak paling susah sekali sehingga saya suruh semua orang di set tidak melihat lakonan saya dengan Sofi,” katanya.
Selain Zarina, antara barisan pelakon yang turut menjayakan Filem Amir & Loqman Pergi Ke Laut adalah Shuib (Sepahtu) dan Syuk (Balas) sebagai watak utama, Kuni, Nadia Mustafa, Sofi Jikan, Kaza dan ramai lagi. Ianya akan ditayangkan pada 25 September ini.
sumber
No comments: