Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata, angka itu, bagaimanapun, tidak memberikan gambaran sebenar pendapatan isi rumah keseluruhan di Malaysia dan mungkin dilonjak oleh mereka yang mempunyai pendapatan yang jauh lebih tinggi.
Beliau berkata, median atau nilai pada titik pertengahan pada RM4,258, bermakna separuh daripada tujuh juta isi rumah Malaysia memperoleh lebih daripada RM4,258 manakala baki yang diperoleh di bawah itu, yang menyediakan gambaran yang lebih baik pendapatan isi rumah di Malaysia.
"Jumlah peratusan isi rumah yang berpendapatan kurang daripada RM3,000 juga berkurang kepada 28% berbanding 38.7% pada 2012," katanya kepada pemberita selepas melancarkan majlis Apresiasi Media anjuran Jabatan Perangkaan Malaysia di Kuala Lumpur hari ini.
Beliau berkata kemiskinan juga berkurangan dengan ketara dengan bilangan pendapatan isi rumah di bawah garis kemiskinan dikurangkan sebanyak 38,000 kepada 70,000 isi rumah sehingga Jun tahun ini berbanding 108,000 isi rumah pada 2012.
Sementara itu, Wahid berkata nisbah gaji kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang berkembang kepada 33.6% tahun lepas berbanding 29.3% pada 2008 adalah petunjuk positif kepada usaha kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi.
"Ini menunjukkan pendapatan melalui penggajian meningkat sebanyak 8% setahun berbanding dengan peningkatan ekonomi yang meningkat sekitar 5.1% setahun.
"Ini memberi makna yang penting dalam konteks mikro ekonomi di mana kita hendak pastikan apabila produktiviti meningkat, rakyat diberi gaji yang lebih berbanding dengan keuntungan yang diperoleh oleh syarikat," katanya.
Kata beliau nisbah gaji kepada KDNK Malaysia masih boleh dipertingkatkan lagi dan paras yang selesa bagi ekonomi negara ini untuk berkembang dan mengekalkan daya saing adalah pada paras 40%.
"33.6% ini lebih tinggi daripada kebanyakkan negara lain tetapi masih rendah berbanding negara-negara maju seperi Singapura (41%) dan Amerika Syarikat dan UK (lebih 50%)," katanya.
Beliau berkata kerajaan tidak bercadang untuk meningkatkan nisbah gaji kepada KDNK sehingga 50% kerana pada tahap itu negara akan kehilangan daya saing.
Tambah beliau lagi negara-negara yang mempunyai nisbah gaji kepada KDNK melebihi 50% seperti United Kingdom turut mempunyai regim cukai pendapatan yang tinggi.
"Berdasarkan pengamatan kita, mungkin kadar 40% merupakan kadar optimum yang kita nak sasarkan.
"Tetapi ini tidak boleh dinaikkan secara semalaman dan perlu amat berhati-hati kerana segala peningkatan pendapatan perlulah didokongi oleh peningkatan produktiviti," katanya.
Berdasarkan kajian Jabatan Perangkaan, nisbah lebihan operasi kasar oleh syarikat kepada KDNK pada tahun lepas berada pada paras 64.2% manakala nisbah cukai tolak subsidi ke atas pengeluaran dan import berada pada paras 2.2%.
Mengikut jabatan berkenaan, sektor perkhidmatan merupakan penyumbang terbesar kepada penggajian iaitu sebanyak 60.9%, diikuti oleh pembuatan (23.1%), pembinaan (9.1%), pertanian (5.2%) dan perlombongan dan aktiviti kuari (1.7%).
sumber
No comments: