» » 'Hukuman penjara bukti mahkamah gagal lindungi kebebasan bersuara'


Mahkamah mempunyai tugas melindungi kebebasan bersuara namun hukuman penjara terhadap pendakwaan menghasut mengejutkan peguam kerana perbezaan pandangan hanya bersifat jenayah politik, sebaliknya mengatakan denda sudah memadai.

Peguam berkata, mahkamah mempunyai tugas melindungi dan menjaga hak terkandung dalam Perlembagaan kepada semua warganegara, sebaliknya mahkamah tidak melakukannya.

Latheefa Koya, peguam PKR percaya hukuman tahanan yang dikenakan bertujuan menanamkan ketakutan terhadap pesalah.

"Terdapat banyak kesan menakutkan sebaik sahaja polis mula menyiasat dan pendakwaan dibuat oleh pendakwaraya. Lebih-lebih lagi tertuduh dihantar ke penjara," kata beliau kepada The Malaysian Insider.

Mereka yang bersalah akan didenda sehingga RM5,000 atau maksimum tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali. Pesalah yang mengulangi kesalahan boleh dipenjara sehingga lima tahun.

Denda melebihi RM2,000 atau hukuman penjara melebihi setahun juga boleh menyebabkan wakil rakyat yang dipilih hilang kelayakan dan menghalang mereka daripada memegang jawatan awam.


"Ini sudah menjadi trend, sekurang-kurangnya sembilan ahli Parlimen pembangkang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) didakwa mengikut akta ini," katanya.

Aktivis pelajar, Adam Adli Abd Halim dijatuhi hukuman penjara 12 bulan pada Jumaat lalu selepas didapati bersalah kerana menuduh Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Umum 2013 menerusi penipuan.

Presiden Majlis Peguam Christopher Leong yang mempengerusikan mesyuarat tergempar bagi membincangkan Akta Hasutan 1948 pada Jumaat baru-baru ini mengatakan hukuman ke atas Adam Adli keterlaluan dan menyifatkan denda sudah memadai.

Latheefa berkata, mahkamah menetapkan hukuman denda selepas rusuhan kaum 1969 dan selepas Akta Hasutan dipinda pada 1970.

"Mahkamah lebih terbuka semasa menjatuhkan hukuman walaupun selepas pergaduhan ganas dan undang-undang dipinda untuk memperluaskan maksud kecenderungan menghasut," katanya.

Latheefa berkata Ahli Parlimen BN, mendiang Datuk Mark Koding yang didapati bersalah menghasut pada 1982 diberikan bon kerana tingkah laku baik selama dua tahun tanpa sebarang rekod pendakwaan.

Ketua Menteri Pulau Pinang dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menjadi individu pertama dipenjara kerana menghasut selepas dipenjara selama 18 bulan pada 1998 oleh Mahkamah Rayuan.

Seorang lagi aktivis, Safwan Anang baru-baru ini dijatuhi hukuman penjara 10 bulan selepas didapati bersalah membuat kenyataan menentang kerajaan pada satu forum 13 Mei tahun lepas.

Sementara itu, aktivis hak asasi manusia P Uthayakumar dijatuhkan hukuman penjara paling lama setakat ini selama 30 bulan kerana menulis surat berunsur hasutan di laman sesawang pada 2007. Mahkamah Rayuan hanya mengurangkan tempoh penjara kepada 24 bulan.

Mendiang Karpal Singh, yang berkerusi roda juga tidak terlepas daripada didenda sebanyak RM4,000 pada 11 Mac tahun ini kerana mengulas peranan Sultan Perak semasa krisis Perlembagaan negeri pada 2009.

Malahan, pihak pendakwaan juga membuat permohonan kepada mahkamah supaya Karpal dihantar ke penjara demi kepentingan awam.

Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty Eric Paulsen berkata, tindakan menghukum baru-baru ini menunjukkan hakim gagal menghentikan penyalahgunaan kuasa polis dan pendakwaraya.

"Hukuman penjara ke atas Safwan dan Adam Adli tidak patut kerana ini hanya kesalahan politik dan tidak membahayakan orang awam," katanya.

Eric berkata semua pemuda yang didakwa mempunyai masa depan cerah kerana sayang kepada negara terutamanya proses demokrasi negara.

"Ia sangat menyedihkan jika kehakiman tidak memahami fungsi sebenar mereka untuk menegakkan Perlembagaan dan hak asasi sebaliknya menterjermahkan undang-undang usang demi kepentingan kerajaan," katanya.

Peguam M Manoharan yang juga wakil Uthayakumar berkata, terdapat salah guna kuasa dalam menentukan sejauh mana hukuman kerana ia bergantung kepada budi bicara hakim perbicaraan.

"Jika seseorang didapati bersalah, tertuduh dibenarkan berunding bagi mendapatkan hukuman lebih ringan tetapi dalam kes akta hasutan, prinsip berunding itu kelihatannya diabaikan," katanya.

Manoharan berkata, mereka yang didapati bersalah kerana hasutan tidak sepatutnya berada dalam kategori sama seperti perogol, pembunuh atau perompak bersenjata.

"Ini adalah penjenayah ganas namun mahkamah mempunyai bidang kuasa luas dalam membuat sabitan dan hukuman," katanya.

Beliau berkata, dalam beberapa kes pembunuhan, mahkamah juga pernah mengurangkan hukuman kerana kematian tanpa niat atau menyebabkan kecederaan parah kerana bukti tidak mencukupi .

sumber

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .