Menanti selama 11 tahun untuk muncul dengan album baru, Syafinaz Selamat, 40, tidak lokek waktu andai tempoh yang panjang itu mampu memberi kepuasan serta jaminan kualiti pada albumnya.
Mengenengahkan konsep ‘fusion’ kontemporari, album yang masih belum berjudul itu dijangka menjengah pasaran selewat-lewatnya awal tahun depan.
“Hasrat memiliki album baru sudah saya suarakan sejak beberapa tahun lalu. Namun kerana kesibukan harian saya sebagai pensyarah cukup membataskan pergerakan saya sendiri.
“Saya tahu peminat sudah bosan menunggu album saya kerana tahun demi tahun menanti tetap juga album tak muncul. Bagaimanapun, kali ini saya berani memaklumkan bahawa album saya sedang dalam pembikinan dan awal tahun depan Insya-Allah ia akan dipasarkan.
“Di dalam album ini, saya cukup bertuah dapat bekerjasama dengan produser hebat seperti Jenny Chin, Mac Chew dan Aubrey Suwito. Album ini sangat berbeza, pembikinannya dibuat begitu teliti selain menawarkan muzik serta bunyian yang baru pada pasaran muzik,” kata pensyarah di Universiti Teknologi Mara (UiTM), ICOM dan ASWARA ini.
Menyorot perkembangan lain, saban tahun Syafinaz pasti akan muncul dengan projek baru bersama Koir Kebangsaan Malaysia yang dipimpinnya.
Sekali lagi gabungan itu bakal menggegarkan pentas hiburan dan kali ini memperkenankan tema Kembara Muzikal Teater dan Filem yang bakal berlangsung pada 23 dan 24 November ini di Auditorium Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC), Jalan Ampang, Kuala Lumpur.
Uniknya mengenai konsert ini, persembahan makyung dan koir akan bersatu di pentas dengan menampilkan pemain makyung terkenal, Rosnan Rahman diiringi suara Koir Kebangsaan Malaysia.
Vokal Soprano milik Syafinaz juga bakal menggegarkan pentas secara solo selain dihangatkan lagi dengan kemunculan Memento dan Vox Aurora.
“Persembahan ini membabitkan sebanyak 19 lagu dan satu lagu adalah medley. Terdapat lagu-lagu dalam bahasa Inggeris, Melayu, Cina dan Tamil.
“Semua lagu yang dipilih terdiri daripada lagu-lagu teater muzikal dan filem popular. Penonton yang hadir pada malam itu nanti pasti tidak canggung menyaksikan persembahan kami kerana lagu yang dipilih adalah yang biasa mereka dengar.
“Sebahagiannya adalah Ombak Rindu, Puncak Tertinggi, Asmaradana dan banyak lagi. Diharap penonton dapat menyanyi bersama-sama kami pada malam konsert nanti,” katanya.
Tiket berharga RM30 dan diskaun sebanyak 50 peratus diberikan kepada pelajar boleh didapati dengan melayari laman web www.ticket2u.biz.
sumber




No comments: