Teguran kepada Datuk Seri Najib Razak tidak melibatkan perkara peribadi dan bukan bertujuan untuk memaksa perdana menteri melepaskan jawatannya, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.
Bekas perdana menteri paling lama berkhidmat itu berkata, beliau tidak bersetuju dengan polisi-polisi Najib kerana tindakan beliau tidak memberikan manfaat kepada negara.
"Tidak, saya tidak minta beliau letak jawatan, saya cuma tidak bersetuju dengan polisi beliau," kata Dr Mahathir kepada pemberita selepas merasmikan Pelancaran Institut Kecemerlangan Pengajian Baitulmaqdis (EIEJS), di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, malam ini.
Dr Mahathir yang pernah berkhidmat selama 22 tahun sebagai menteri berkata, pendekatan Najib yang lebih gemar mendiamkan diri apabila tercetusnya sesuatu isu dan terlalu lembut kepada semua orang menyebabkan Perlembagaan tidak lagi dihormati.
"Ini bukan isu peribadi. Apa yang dilakukan Najib tidak memanfaatkan negara...ketegangan kaum dan agama meningkat, orang tidak hormat kepada Perlembagaan lagi.
"Beliau terlalu lembut dengan semua orang, kadangkala tidak respons, senyap...ada masalah tapi tidak ambil tindakan," katanya.
Disebabkan perdana menteri itu tidak melakukan apa-apa tindakan, Dr Mahathir berkata beliau perlu menegur Najib.
"Beliau tidak buat apa pun. Saya tegurlah. Pasal orang lain tak nak tegur," katanya, dan menambah, Najib turut menunjukkan prestasi yang teruk dalam Pilihan Raya Umum 2013 (PRU13).
"Beliau tidak buat dengan baik dalam pilihan raya lepas. Saya harapkan beliau buat lebih baik," katanya.
Dr Mahathir berkata, isunya bukan sama ada Najib memberikan respons kepada kritikan di laman blog miliknya www.chedet.cc, sebaliknya beliau perlu melaksanakannya.
"Ini bukan soal jawab, soal buat."
Dalam laman blognya hari ini, Dr Mahathir secara terbuka berkata, beliau terpaksa menarik balik sokongan dan terpaksa mengkritik kerajaan Najib kerana prestasinya lebih buruk daripada penggantinya Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Dr Mahathir berkata, tindakan itu terpaksa dilakukannya kerana Najib tidak mengambil iktibar daripada prestasi buruknya dalam PRU13 lalu.
"Saya tidak ada pilihan selain menarik balik sokongan saya. Ini pun tidak berkesan. Oleh itu, terpaksalah saya menegur," katanya.
Dr Mahathir berkata, beliau tidak menyangka prestasi perdana menteri dalam PRU13 akan menjadi lebih buruk daripada Abdullah dalam PRU12 pada 2008.
"Pilihan saya bagi mengganti Abdullah ialah Najib. Setelah beberapa lama dilihat dasar dan tindakan Najib tidak lebih berkesan daripada Abdullah.
"Sesungguhnya banyaklah dasar, pendekatan dan perbuatan kerajaan pimpinan Najib yang merosakkan hubungan antara kaum, merosakkan ekonomi dan kewangan negara," katanya menerusi blog popularnya itu.
Dr Mahathir berkata, kelemahan pentadbiran Najib disebabkan penyokong kerajaan tidak pernah menegur pemimpin.
"Jikalau tiada siapa yang sanggup menegur, biarlah saya menegur. Saya pernah dipecat oleh Tunku Abdul Rahman, dipulau Datuk Seri Abdullah dan difitnah ramai. Jika kerana menegur saya akan didera, terpaksalah saya terima.
"Bukanlah saya tidak sayang pemimpin. Tetapi saya lebih sayang bangsa dan negara saya," katanya.
Beliau berkata, kesalahan pertama Najib adalah apabila beliau melayan tuntutan musuh.
Dr Mahathir juga tidak berpuas hati dengan sikap pentadbiran Najib yang dilihat terlalu tunduk kepada negara-negara jiran.
Dalam PRU13 lalu, pencapaian Najib lebih buruk daripada Abdullah pada PRU12 apabila hanya berjaya mendapat 133 kerusi Parlimen berbanding 140 pada 2008.




No comments: