» » Dr Mahathir ingin pastikan Najib masih seiring


Apa kesan Tun Dr Mahathir Mohamad menarik balik sokongannya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak?

Amaran keras bekas perdana menteri itu terhadap Najib sama seperti perkataan yang digunakan pada 2006 yang mencetuskan kempen beracun terhadap Tun Abdullah Ahmad Badawi – kempen yang memainkan peranan penting memusnahkan Pak Lah sebelum Pilihan Raya Umum 2008.

Namun terdapat perbezaan besar antara dahulu dan sekarang.

Sebagai permulaan, Dr Mahathir berjaya menggoncang Abdullah kerana beliau menerima bantuan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan beberapa pemimpin kanan Umno yang berupaya menimbulkan persepsi di akar umbi menentang Pak Lah berikutan kegagalan Barisan Nasional (BN) mendapat dua pertiga majoriti di Parlimen.

Jadi bukan sahaja Dr Mahathir berjaya membangkitkan penentangan terhadap Abdullah dari luar, beliau juga mempunyai ejen di peringkat Majlis Tertinggi Umno yang mengganggu gugat sokongan mereka terhadap Abdullah. Sehinggakan mereka yang dilihat menyokongnya atau neutral, sebenarnya sebahagian daripada geng Mahathir-Muhyiddin.

Hari ini, tiada kepimpinan tertinggi Umno menerima jemputan Dr Mahathir untuk mengkritik Najib. Tidak Muhyiddin. Tidak Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Mengapa?

Mungkin insentif untuk memimpin atau keseronokan menjadi PM Malaysia tidaklah begitu hebat. Negara ini sedang kucar-kacir dan ada benarnya tulisan yang Dr Mahathir sasarkan terhadap Najib di blognya www.chedet.cc.

Sikapnya yang tidak membuat keputusan, membisu dan membenarkan sekumpulan kecil mendominasi perdebatan di negara ini meletakkan Malaysia di puncak ketegangan antara kaum dan agama.

Malah, sebahagian pencabarnya masih tidak pasti dengan prospek Umno dalam pilihan raya akan datang. Tiada yang mahu menjadi pemimpin ketika kuasa memimpin itu semakin hilang.

Dr Mahathir juga mungkin melihat terdapat kelesuan terhadap Umno. Jangan dilupa ini bukan parti yang mempunyai anggota yang idealistik atau individu dengan prinsip yang kuat.

Mereka mudah hanyut disebabkan ringgit dan janji kontrak serta imbuhan. Tanpa ragu-ragu menggunakan dana negara untuk projek "feel good" dan demi mendapatkan populariti.

Akhirnya, Abdullah tidak mempunyai individu yang kuat di sampingnya. Jadi apabila keadaan menjadi tidak selesa, lebih baik beliau berundur daripada memusnahkan Umno. Sudah pasti, penyokongnya mahu beliau kekal, namun beliau tidak mempunyai keberanian untuk melawan.

Berbeza dengan Najib. Beliau mahu kekal sebagai PM dan duduk di Seri Perdana selama mungkin. Ada bibit-bibit sayang terhadap tugas yang memerangkapnya dan beliau tidak akan sesekali mengibarkan bendera putih.

Najib tidak akan berdiam diri. Kem Najib akan membuat cubaan untuk bertemu Dr Mahathir dan menyapu ubat kepada luka yang mengguris perasaannya.

Mungkin ia berkaitan dengan meneruskan permintaannya untuk mendapatkan bantuan kewangan berterusan kepada Proton atau tuntutan lain.

Pada masa sama, pasukan Najib akan mula bekerja di peringkat akar umbi menjelaskan kepada broker kuasa Umno dan media, punca "sebenar" Dr Mahathir menarik balik sokongan kepada Najib.

Maklumat itu termasuk keputusan Putrajaya tidak meneruskan pembinaan lapangan terbang lebih besar di Kedah dan keengganannya menyerahkan Malaysia Airlines kepada ahli perniagaan yang baik.

Adakah Dr Mahathir berjaya menyingkirkan Najib? Mungkin tidak.

Namun, mungkin itu bukan niatnya. Beliau mungkin hanya ingin membawa Najib kembali ke laluannya - laluan yang seiring dengan Dr Mahathir.

sumber

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .