Penyanyi Indonesia, Datuk Rossa amat menitikberatkan kualiti penghasilan sesebuah lagu. Baginya itu adalah antara faktor utama penyanyi berusia 35 tahun itu terus dikenali di Malaysia.
Berhati-hati dalam memilih lagu menyebabkan ada antara albumnya mengambil masa yang lama untuk dihasilkan. Dia merasakan itu adalah satu kepuasan pada dirinya kerana dapat memenuhi citarasa pendengar.
“Saya sememangnya agak cerewet dalam pemilihan lagu. Biarpun begitu, ia adalah untuk memberikan terbaik kepada peminat. Disebabkan itu juga, ada antara album saya mengambil masa yang lama untuk dihasilkan.
“Saya merasakan jika kualiti sesebuah lagu itu bagus, pasti peminat saya akan terus setia mendengar tanpa jemu,” kata Rossa yang ditemui pada majlis pelancaran albumnya berjudul Love, Life & Music di Hotel Best Western Premier, Kuala Lumpur semalam.
Dalam pada itu, Rossa merupakan salah seorang penyanyi Indonesia yang terus kekal dalam mencipta namanya di Malaysia. Dia meletakkan dirinya sebagai seorang yang cukup bertuah.
“Ini semua adala rezeki saya di Malaysia. Kalau ditanya apa rahsia saya terus kekal di sini, sejujurnya saya tidak tahu. Mungkin penghasilan lagu yang bagus dan easy listening menyebabkan peminat menerima saya sehingga sekarang.
“Selain itu, saya amat terbuka dalam mendengar segala kritikan dan berusaha untuk terus memperbaiki diri,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Rossa mengambil keputusan untuk melancarkan album terbarunya secara bersederhana bagi menghormati tragedi MH17.
“Sebelum ini saya menginginkan sebuah majlis pelancaran album secara besar-besaran, namun disebabkan rakyat Malaysia masih berkabung mengenai tragedi MH17, saya mengambil keputusan untuk mengadakan majlis secara kecil-kecilan.
“Bagi saya majlis yang diadakan seperti ini lebih dekat dengan para media yang hadir,” katanya.
Selain itu, album Love, Life & Music turut memuatkan single Rossa yang terbaru berjudul Hijrah Cinta. Lagu hasil gubahan Melly Goeslaw itu mempunyai kisah sedih mengenai arwah rakan mereka, Ustaz Jeffry.
“Rakan kami iaitu Ustaz Jeffry meninggal akibat kemalangan. Selama hidupnya, dia adalah seorang pengguna dadah. Namun, pada suatu ketika dia terus meninggalkan segala perkara yang dilarang dan patuh kepada perintah Allah.
“Bagi saya ini adalah sebuah lagu yang cukup emosi. Ketika saya membuat rakaman untuk lagu tersebut, saya tidak mampu menahan kesedihan,” ujar Rossa.
sumber





No comments: