Erti kemerdekaan sebenar bukan setakat membebaskan diri dari perhambaan penjajah, tetapi membebaskan hati dan diri dari belenggu pemikiran yang rasis dan sempit, serta kebebasan ekonomi, kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Dalam perutusan Hari Merdeka hari ini, presiden PKR itu mengajak seluruh rakyat Malaysia menghayati kemerdekaan dalam erti kata yang sebenar bukan hanya menyambutnya dengan sekadar mengibarkan Jalur Gemilang sahaja.
"Kemerdekaan yang dicari sebenarnya adalah kebebasan hati dan jiwa, kebebasan diri dan anggota keluarga dari belenggu pemikiran yang rasis dan sempit, serta mempunyai kebebasan ekonomi.
"Rakyat mesti dipupuk melahirkan jiwa merdeka, dengan memerdekakan sepenuhnya jiwa kita dari cengkaman dan kezaliman demi membina negara yang aman harmoni, hormat menghormati sesama rakyat dari kalangan pelbagai agama dan bangsa," katanya.
Dr Wan Azizah berkata PKR komited membina sebuah negara yang mengajak memerdekakan rakyat dari tekanan kehidupan, dengan usaha untuk menyediakan prasarana ekonomi yang baik.
"Ini agar sumber kekayaan negara dapat dikongsi bersama seluruh rakyat, terutama mereka yang memerlukan tanpa membataskan kedudukan bangsa dan agama."
Katanya PKR juga mahu mengasaskan kemerdekaan berteraskan islah atau reform.
"Reform mestilah bermula daripada kepimpinan yang amanah, telus dan efektif serta memperjuangkan prinsip keadilan hak dan kebebasan rakyat.
"Tekad PKR membebaskan rakyat dari tekanan ekonomi, kebebasan dalam fahaman dan kepercayaan dengan asas hak-hak rakyat bernegara yang dilindungi oleh Perlembagaan."
Dengan itu, kata Dr Wan Azizah, rakyat Malaysia dapat membina nilai moral yang tinggi dan akhlak mulia kerana yang diidamkan ialah sebuah negara yang merdeka dan bebas dari gejala rasuah, pembaziran dan kecuaian.
"Kita harap kita mampu membawa negara ke landasan yang betul, memelihara maruah negara, kedaulatan negara dengan ekonomi yang kukuh," katanya .
No comments: