Mereka bimbang Malaysia tidak lama lagi akan berakhir menjadi sebuah negara yang gagal – tanpa jiwa dan tanpa harapan.
"Yang paling mengecewakan saya ialah kita mensia-siakan potensi kita menjadi permata timur. Kita ada semua yang diperlukan – bakat, sumber, intelek," kata bekas pengerusi bersama Bersih Datuk Ambiga Sreenevasan.
"Namun, kita yang dibawa meruntun jalan kelaziman, ketaksuban, kecurangan dan prasangka. Dari hari ke hari kita semakin bersikap perkauman dan curiga terhadap satu sama lain.
Ketua Pegawai Eksekutif Gerakan Kesederhanaan Global, Datuk Saifuddin Abdullah (gambar) melahirkan sentimen yang sama, mengatakan beliau paling risau tentang polarisasi yang semakin meningkat, sambil menambah 'jiwa' Malaysia akan hancur jika ini berterusan.
"Terutamanya atas dasar bangsa dan agama, kerana perpaduan adalah jiwa Malaysia," kata bekas menteri pengajian tinggi itu.
Memandangkan hal ini, Saifuddin berkata Majlis Perundingan Perpaduan Negara (NUCC), di mana dia merupakan salah seorang ahli, mencadangkan Rang Undang-Undang Keharmonian Nasional bagi membendung ekstremisme.
"Saya juga harap NUCC akan, antara lain, mencadangkan kerajaan mulakan penghijrahan daripada 'dasar berasaskan kaum' kepada 'dasar berasaskan keperluan."
Ini juga dipersetujui pengurus program Sisters in Islam (SIS) Suri Kempe yang mengatakan dia sangat kecewa dengan tindakan eksploitasi atas nama Islam menyerang pembela hak asasi manusia dan kumpulan minoriti seperti Syiah dan LGBTIQ (lesbian, gay, biseksual, transgender, intersex, questioning).
"Juga, bila mana retorik estrem dibenarkan di khalayak awam tanpa sebarang sekatan," katanya.
Hak LGBTIQ tidak diiktiraf di Malaysia, dengan kumpulan ekstremis seperti Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) juga menyeru kerajaan tidak membenarkannya bebas bergerak.
Suri berkata negara ini berisiko menghadapi masa depan yang buruk jika manipulasi atas sentimen perkauman dan agama serta kepentingan politik peribadi mengatasi kepentingan negara yang mengutamakan perpaduan dan keamanan.
"Mengeksploitasi agama untuk mendapatkan kuasa sama seperti bermain api. Mereka yang melakukannya mempertaruhkan bukan sahaja kesejahteraan ekonomi negara tetapi juga keamanan dan keharmonian yang menjadi asas pembinaan negara."
Bagaimanapun, Suri tetap positif mengatakan dia nampak ramai di kalangan anggota masyarakat yang bersungguh mengatasi situasi politik kebencian.
"Saya lihat ramai individu, ahli masyarakat dan pertubuhan akar umbi dengan aktif melawan politik kebencian ini. Makin banyak inisiatif ke arah penyatuan daripada perpecahan, dan ia sedang bergerak dari bawah ke atas.
"Apabila saya pejamkan mata dan fikirkan tentang Malaysia, yang muncul dalam fikiran ialah satu jiwa yang tua. Yang baik hati, degil, suka menentang dan berdaya tahan."
Bagi Ambiga, Malaysia ialah rumahnya, di mana dia membesar dalam kemesraan, keikhlasan, kasihsayang dan kebaikan rakyat biasanya.
"Di sini, datuk nenek dan ibu bapa saya tinggal dan bekerja. Kita mencapai kemerdekaan dan melihat lahirnya satu negara Malaysia dan rasa bersemangat dengan kata-kata (perdana menteri pertama) Tunku Abdul Rahman untuk sama-sama berusaha membina negara ini."
Apa yang Malaysia perlukan sekarang ialah seorang “Nelson Mandela”nya sendiri, seorang yang akan membimbing negara keluar dari keadaan sekarang.
"Seorang yang hanya berminat untuk berkhidmat kepada rakyat. Yang ada sentuhan rakyat biasa dan integritinya tiada pertikaian. Sekarang ini harapan saya ialah pada rakyat Malaysia yang hendak hidup bersama secara aman dan membina masa depan untuk generasi akan datang," kata peguam itu.
Saifuddin menyeru rakyat Malaysia berani bertanya soalan yang susah, buat keputusan yang sukar dan ambil tindakan yang berkesan.
"Kita juga perlu ada perbincangan baru yang hanya boleh dilakukan sekiranya kita luaskan ruang awam dan hentikan budaya takut, berpegang teguh kepada hak untuk mendapatkan maklumat, kebebasan bersuara dan kebebasan akademik serta gunakan kesederhanaan sebagai satu nilai dan kaedah," katanya.
Suri juga meminta lebih kebebasan untuk berfikir, menganalisa secara kritikal dan membentuk Malaysia yang diidamkan rakyat biasa.
"Kita perlu kurangkan menilai dan membuat tanggapan, kurang stereotaip dan lebih jujur dengan diri sendiri, selepas melalui sejarah dan kisah silam yang mengajar kita mencorak masa kini dan masa depan kita.
"Lagi pun, inilah negara tercinta kita, bukan?" katanya.
sumber
No comments: