Kebenaran injuksi yang diperoleh kerajaan Australia dalam skandal wang kertas adalah cara terbaik melindungi pemimpin politik kanan daripada kenyataan menghina, kata kedutaan Australia di Indonesia hari ini.
Dalam kenyataannya, kedutaan itu berkata beberapa pemimpin terkemuka Asia Tenggara yang dikaitkan dengan perintah itu pada minggu lepas tidak bermakna mereka akan disabitkan dengan kesalahan.
"Arahan itu untuk menghalang sebarang penerbitan maklumat yang boleh mengaitkkan penglibatan rasuah di kalangan tokoh politik rantau ini."
Kerajaan Australia juga menegaskan Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono dan bekas presiden Megawati Sukarnoputri juga tidak disiasat.
"Sebarang pelanggaran perintah akan diambil serius dan dirujuk kepada polis," kata kenyataan itu.
Rabu lalu Wikileaks mendedahkan kes rasuah bernilai jutaan dolar yang melibatkan Indonesia, Malaysia dan Vietnam ditutup selepas kerajaan Australia memperoleh injuksi.
Kes itu menyatakan nama pemimpin dahulu dan sekarang dari Indonesia,Malaysia dan Vietnam, ahli keluarga mereka dan para pegawai kanan yang lain.
Ia juga melibatkan anak syarikat dari Reserve Bank of Australia, iaitu Securency dan Note Printing Australia.
Pekerja daripada kedua-dua syarikat dikatakan merasuah pegawai luar negara di Malaysia, Indonesia dan Vietnam sejak 1999 hingga 2004 untuk memenangi kontrak mencetak wang kertas.
"Ini merupakan satu tindakan tidak pernah berlaku sebelum penapisan pihak berkuasa Australia mengenai kes berprofil tinggi dan jutaan dolar," kata penerbit Wikileaks Julian Assange.
"Alasan keselamatan negara digunakan oleh pihak berkuasa Australia untuk mengelakkan apa-apa laporan mengenai kes ini bagi melindungi hubungan antarabangsa."
Wikileaks mendedahkan 17 individu berprofil tinggi dalam senarai injuksi termasuk perdana menteri dahulu dan sekarang Malaysia.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi antara yang disenaraikan.
Turut dinamakan adalah bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Rafidah Aziz dan bekas Menteri Luar Tan Sri Syed Hamid Albar.
"Injuksi ini khusus melarang penyiaran perintah itu sendiri, yang menutup kes rasuah terbesar peringkat tertinggi di Australia dan rantau ini," kata Assange.
Beliau berkata dengan perintah itu, "kerajaan Australia bukan sahaja menutup mulut media Australia. Ia juga bagi menutup mata rakyat Australia.
"Menteri Luar Julie Bishop mesti menjelaskan mengapa dia mengancam setiap rakyat Australia dengan hukuman penjara dalam usaha menutup skandal rasuah memalukan yang melibatkan kerajaan Australia.
"Konsep 'keselamatan negara' tidak sepatutnya digunakan untuk menutup dakwaan rasuah serius yang melibatkan pegawai kerajaan, di Australia atau tempat lain."
Assange berkata, ia adalah demi kepentingan awam untuk media melaporkan kes itu, yang melibatkan anak-anak syarikat Bank Negara Australia.
Dakwaan rasuah pertama muncul pada 2009 yang menyebabkan Polis Persekutuan Australia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memulakan siasatan berasingan.
Pada 2010, SPRM menahan tiga individu yang mempunyai hubungan dengan pembekal wang kerta polimer RM5 berikut laporan Securency menawarkan rasuah kepada pegawai di Malaysia.
Ketiga-tiganya, termasuk seorang ahli perniagaan, didakwa mengambil RM11.3 juta untuk mendapatkan kontrak daripada Bank Negara Malaysia bagi memastikan kerajaan Malaysia memilih nota polimer.
No comments: