Perdana Menteri Australia Tony Abbott menyifatkan kawasan pesawat MH17 terhempas di Ukraine Khamis lalu sebagai 'terlalu kacau-bilau' dan bimbang bahan bukti akan terjejas teruk, lapor AFP.
Seruan Abbott itu sekali gus menambah lagi gesaan pemimpin dunia yang mendesak Rusia memberi kerjasama dalam siasatan kes MH17 yang ditembak jatuh dan mengorbankan 298 nyawa rakyat pelbagai negara dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.
Daripada jumlah itu, 28 daripadanya warga Australia, dan Abbott menggesa penemuan mayat rakyatnya diutamakan.
"Masalahnya ialah, kawasan itu amat kucar-kacir dan tidak terurus.
"Apa sepatutnya yang berlaku di mana-mana kawasan pesawat terhempas tidak berlaku di kawasan itu," katanya kepada Australian Broadcasting Corporation.
Katanya, beberapa cubaan mendekati bangkai pesawat juga agak sukar kerana dihalang oleh pihak yang menguasai kawasan konflik.
"Amat penting bagi Australia menemui mayat terbabit dan memastikan kawasan itu dikawal bagi memastikan siasatan dapat dilakukan dan akhirnya keadilan terbela," katanya.
Australia mendesak siasatan penuh tanpa berpihak, namun Abbott berkata kesukaran utamanya adalah "tidak ada satu pun pihak berkuasa yang mengendalikan kawasan kemalangan".
Katanya, Presiden Ukrain Petro Poroshenko menjemput Australia turut serta dalam siasatan dan menjadi sebahagian pasukan operasi pencarian mayat.
"Saya bimbang campur tangan di tempat kejadian akan terus berlaku walaupun Rusia memberi jaminan sebaliknya," katanya.
Sementara itu, Amerika Syarikat mengecam kawalan keselamatan kawasan kemalangan itu sebagai 'tidak boleh diterima'.
"Kawasan itu tidak selamat, banyak laporan mengatakan mayat dialihkan, beberapa serpihan bangkai pesawat dibuang dan bahan bukti diusik.
"Ini tidak boleh diterima dan menjadi satu penghinaan kepada waris yang kehilangan keluarga tersayang serta membabitkan maruah mangsa," kata jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat dalam kenyataan Sabtu lalu.
Katanya, Organisasi Keselamatan dan Kerjasama Eropah hanya dibenarkan berada di tempat kejadian selama 75 minit sahaja pada Jumaat lalu dan kurang tiga jam pada keesokan harinya.
Abbott yang pada Jumaat lalu menyifatkan kejadian itu sebagai satu jenayah dan menyelar respon awal Rusia sebagai 'amat tidak memuaskan hati', enggan mengakui sama ada beliau ada cuba menghubungi Presiden Rusia Vladimir Putin.
"Rusia seperti yang disaksikan ramai sejak 48 jam lalu cuba untuk lepas tangan dalam isu ini.
"Tetapi agak sukar jika Rusia mahu lepas tangan kerana wilayah terbabit mendapat sokongan Rusia dan senjata juga dibekalkan oleh Rusia," katanya.
Abbott turut mendedahkan, dua anaknya pernah menaiki MH17 pulang dari Eropah, dan tragedi itu memberi kesan mendalam apabila semua 36 rakyatnya yang terbabit dalam perjalanan pulang ke rumah di Australia.
Satu upacara akan diadakan hari ini bagi mengenang mereka yang terkorban dalam tragedi terbabit.
"Kita tidak boleh membiarkan emosi menguasai penilaian kita, tetapi ini adalah suasana yang sangat menyayat hati. Hampir tiada seorang pun rakyat Malaysia yang tidak tersentuh emosi dengan apa yang kita lihat dan rasa sejak 48 jam lalu.
"Bila memandang wajah mangsa, mereka mungkin jiran kamu, kawan kamu, atau mungkin juga anak kamu sebab kita memang bangsa yang gemar melancong," katanya.
sumber
No comments: