Selepas menunaikan solat sunat Aidilfitri, Datuk Siti Nurhaliza akan ‘terbang’ ke Melbourne, Australia, bersama suaminya, Datuk Khalid Mohamad Jiwa.
Nampaknya Siti terpaksa menghabiskan lebih kurang lapan jam daripada 1 Syawalnya di dalam pesawat yang akan membawanya ke bandar kedua terbesar di negara tersebut, selepas Sydney.
Pemergian Siti ke Melbourne adalah untuk menemani Datuk K yang akan menghadiri majlis konvokesyen anak keduanya, Adib Khalid yang melanjutkan pengajian di salah sebuah universiti di sana.
“Sebenarnya, ini adalah rancangan last minute. Beberapa minggu sebelum raya, Datuk K dapat surat undangan untuk menghadiri konvo Adib.
“Kebetulan, Mama Adib tidak dapat hadir maka Siti menemani Datuk K ke majlis konvo itu nanti,” katanya.
Bagaimanapun, Siti kurang pasti tentang butiran perjalanan ke Melbourne ini nanti kerana segala-galanya diuruskan oleh Datuk K.
Kebetulan sewaktu sesi temu bual ini, Datuk K berada+ di tanah suci Mekah kerana menunaikan umrah setelah menyelesaikan urusan kerja di kawasan berhampiran.
“Tapi kami tidak lama di Melbourne. Selepas dua malam dan selesai konvo Adib, kami akan pulang ke tanah air. Naklah beraya dengan ibu Siti, emak mertua dan keluarga di sini pula,” ujarnya lagi.
Mengenai persiapan raya kali ini, Siti memberitahu yang dia membeli enam pasang baju raya termasuk yang ditempah daripada pereka fesyen, Rizman Ruzaini, Jovian, Yadotsa dan Jakel.
“Jangan tanya pasal warna tema baju raya sebab setiap kali raya, Siti dan Datuk K tidak pernah menempah baju raya dengan warna tema yang sedondon.
“Kebiasaannya, Datuk K akan memakai baju Melayu yang warnanya ada padanan dengan warna baju raya yang akan Siti pakai. Jadi, kiranya matching la juga,” jelas Siti sambil ketawa.
Sementara itu, sempena sambutan Syawal ini, Siti mempunyai ‘buah tangan’ untuk para peminatnya dengan kelahiran album solo bahasa Melayunya yang ke-15.
Album yang berjudul Fragmen ini memuatkan sembilan buah lagu. Dua lagunya, Jaga Dia Untukku (gubahan Aubrey Suwito serta lirik oleh Rozisangdewi) dan Aku (gubahan Faizal Tahir dan Mike Chan serta lirik oleh Faizal Tahir) sedang rancak diputarkan di corong-corong radio.
No comments: