» » 'Serangan pengganas di Mabul cemar imej Najib'


Insiden tembak menembak terbaru di Pulau Mabul, Sabah oleh tiga lelaki bersenjata yang tidak dikenali malam tadi mendedahkan kegagalan Putrajaya memastikan tahap keselamatan bukan sahaja kepada orang awam, tetapi juga pasukan keselamatan, kata DAP.

Setiausaha agungnya Lim Guan Eng mengaitkan insiden berkenaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang berada di Sabah sejak semalam.

"Ini cubaan menghina dan tiada rasa hormat kepada kerajaan Barisan Nasional dan Najib," kata Lim hari ini.

Serang hendap pada jam 10.30 malam itu mengakibatkan seorang anggota polis terbunuh.

Sekumpulan individu bersenjata turut menculik seorang lagi berikutan serang hendap berkenaan.

"Najib ada di sana untuk perbincangan menstruktur semula Esscom, dan ini berlaku. Pengganas tidak takutkan Esscom. Sia-sia," kata Lim.

Lim bagaimanapun turut menyampaikan rasa simpati kepada keluarga anggota polis marin yang meninggal dunia, dan berkata pihaknya tidak menyalahkan pasukan keselamatan atas insiden tersebut, tetapi pemimpin dan kerajaan.

"Polis sendiri tidak mampu melindungi diri mereka, bagaimana mereka mahu melindungi orang awam," katanya.

Kerajaan juga katanya gagal menunaikan tanggungjawab asas mereka memastikan keselamatan rakyatnya.

Beliau berkata, adanya keperluan pembaikan keseluruhan sistem keselamatan di Sabah dan menambah penstrukturan semula Esscom gagal menambahbaik keselamatan negeri itu.

"Saya tidak salahkan negara lain jika mereka nasihatkan rakyatnya untuk tidak melawat Sabah. Insiden ini akan beri kesan kepada negeri lain. Pelancong asing sudah tentu takut melawat Pulau Pinang.

"Sebagai pemimpin DAP, saya menasihatkan rakyat Malaysia menjauhi kawasan pantai lokasi insiden ini berlaku. Kita bercakap soal nyawa manusia," kata Lim.

Beliau berkata, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz turut memberikan kenyataan terhadap situasi di Sabah.

"Beliau berkata, insiden penculikan di Sabah memberikan impak negatif kepada sektor pelancongan lebih teruk berbanding kehilangan pesawat MH370."

Nazri bulan lalu berkata insiden penculikan memberikan kesan kepada jumlah pelancong dari China.

Beliau berkata, daripada April tahun ini hingga 2015, jangkaan ketibaan pelancong ke Malaysiia dijangka susut dan 30,000 pelancong berpotensi dari China dijangka membatalkan lawatan mereka.

"Nazri sendiri katakannya. Insiden terbaru ini menjadikan keadaan lebih teruk.”

Lim turut mengkritik Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan meminta beliau mengakui kegagalannya melaksanakan tugas.

"Apa lagi beliau hendak perkatakan?" soal Lim.

Pencerobohan terbaru berlaku selepas Najib mengumumkan beberapa langkah tambahan akan dilaksanakan untuk mengukuhkan Esscom.

Langkah itu katanya, termasuklah meletakkan kapal Malaysia International Shipping Corporation Berhad’s (MISC), MT Bunga Mas Lima, di Sabah, yang akan bertindak sebagai "kapal induk" untuk aset maritim berhampiran perairan Filipina.

Sebagai tambahan, Najib berkata, dua platform Petronas akan diubahsuai menjelang penghujung tahun ini untuk menjadi benteng pertahanan terakhir antara Lahad Datu dan Sempoerna.

Platform itu akan dilengkapi radar moden yang membolehkan pasukan keselamatan mengesan pergerakan siang dan malam.

Sementara itu, penasihat DAP dan ahli parlimen Gelang Patah Lim Kit Siang berkata penculikan itu dan peningkatan gejalan jenayah di Sabah bukan sahaja melibatkan isu luaran tetapi juga masalah dalaman warga asing di dalam negeri.

Putrajaya, katanya, perlu mengeluarkan laporan Suruhanjaya Diraja Inkuiri pendatang asing tanpa izin di Sabah.

"Cadangan suruhanjaya akan memberikan impak kepada keselamatan Sabah," katanya.

Esscom meliputi kawasan seluas 1,400km pesisir Sabah dari Kudat hingga Tawau.

Ianya ditubuhkan pada Mac 2013 berikutan pencerobohan Lahad Datu oleh militan Sulu tahun lalu.

Pada 8 Julai, Najib berkata Esscom akan dipecahkan kepada dua komponen: pengurusan keselamatan dan pertahanan, dan komponen penguatkuasaan dan tindakan.

Pengarah keselamatan dan keamanan awam Esscom Komissioner Polis Datuk Abd Rashid Harun akan dilantik menjadi komander Esscom bermula 15 Julai, dan bertanggungjawab terhadap soal komponen Pengurusan Keselamatan dan Pertahanan.

Sejak ditubuhkan, Esscom bagaimanapun gagal menghentikan siri penculikan di pulau di perairan Sabah.

Kit Siang berkata, Esscom ibarat "gajah putih", dan ahli parlimen Kalabakan Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh berkata penduduk Sabah sudah muak dan marah dengan janji kerajaan ketika penubuhan Esscom.

sumber

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .