» » Menteri jawab Rafizi isu pinjaman Deepak


Sebelum ini saya diminta dan dinasihatkan oleh Bank untuk tidak memberi komen mengenai perkara ini kerana terikat dengan Akta Institusi Kewangan Pembangunan 2002 yang tidak membenarkan mana-mana pihak bertanggungjawab untuk mendedahkan maklumat peribadi dan butiran pinjaman mahupun peminjam.

Namun memandangkan perkara ini sudah menjadi hebahan umum saya terpanggil untuk menjawab bagi menerangkan perkara sebenar dan menghentikan spekulasi dan tohmahan yang diasah menjadi modal politik pihak tertentu.

Pertamanya saya ingin menjelaskan:

• Pinjaman yang disebutkan itu bukanlah satu pinjaman tanpa faedah atau pinjaman percuma yang diberikan atau diluluskan oleh saya kepada individu tertentu.

• Ia adalah pinjaman lama yang telah diluluskan sebelum saya memikul tanggungjawab sebagai seorang menteri.

• Jumlah 32 juta yang dinyatakan adalah jumlah baki pinjaman (bukan pinjaman baru) dari jumlah pinjaman asal yang termasuk cas keuntungan dan kos pentadbiran yang lain.

• Pinjaman ini diklasifikasikan sebagai ‘non performing loan’ maka pihak pengurusan mempunyai tanggungjawab kepada pemegang saham untuk mendapatkan sebanyak mungkin baki pinjaman untuk mengelakkan ataupun mengurangkan kerugian dengan sebaik mungkin.

• Semua keputusan adalah dibuat adalah berdasarkan nasihat dan pandangan yang diterima oleh pihak pengurusan.

• Penstrukturan adalah amalan biasa dalam industri perbankan dan tiada apa-apa yang luar biasa dalam penstrukturan pinjaman ini juga.

Pinjaman tidak berbayar 'non performing loan'

Terdapat dua pilihan iaitu untuk tindakan mahkamah atau penstrukturan pembayaran.

Sebelum pihak bank membuat tindakan mahkamah beberapa perkara perlu diteliti iaitu:

• Adakah jumlah cagaran selepas lelongan dan pembubaran semua aset-aset syarikat mampu memberikan pulangan terbaik kepada bank?

• Apakah jumlah kos tambahan kepada bank dari segi kos guaman serta, dokumentasi, lelongan dan masa yang diambil?

Manakala untuk melaksanakan penstrukturan pihak bank pula perlu meneliti perkara seperti:

• Adakah penstrukturan mampu memberi pulangan yang lebih baik kepada pihak bank berbanding tindakan mahkamah?

• Berdasarkan prestasi syarikat peminjam mampukah syarikat melaksanakan penstrukturan berjangka?

• Berdasarkan prestasi syarikat apakah jumlah bayaran semula mampu ditanggung dalam masa yang ditetapkan?

• Sekiranya syarikat gagal dalam melunaskan semula hutang melalui penstrukturan apakah tindakan yang boleh diambil oleh bank?

Penstrukturan

Berdasarkan penelitian yang telah dinyatakan pihak pengurusan telah mencadangkan untuk menawarkan penstrukturan atas sebab berikut:

• Keputusan terbaik ialah untuk memilih kaedah yang dapat mendapatkan jumlah baki pinjaman sebaik mungkin.

• ‘Dollar to dollar recovery’ penstrukturan yang dapat mengembalikan setiap sen dari pinjaman asal dikiranya pilihan yang lebih baik berbanding tanggungan kerugian melalui tindakan mahkamah.

• Kerugian bayaran lewat dan kos faedah hangus dapat diminimumkan dengan menggunakan bayaran tunai peminjam untuk mendapatkan faedah deposit tetap, cas keuntungan pinjaman antara bank dan mekanisme kewangan yang lain.

• Setelah mengira kos yang terlibat termasuk lelongan dan pembubaran aset didapati penstrukturan akan memberi pulangan pinjaman yang lebih baik berbanding tindakan undang-undang.

• Berdasarkan kajian dan perbincangan kedua belah pihak jumlah bayaran berkala dalam jumlah yang dinyatakan dikira mampu untuk syarikat peminjam untuk meneruskan perniagaan seterusnya melunaskan baki hutang mereka dalam masa yang dipersetujui.

• Sekiranya bayaran penstrukturan gagal maka pihak bank akan meneruskan tindakan undang-undang dengan serta-merta.

Sememangnya pihak bank mahu mengenakan cas bayaran maksimum akan tetapi kebolehupayaan.

Kesimpulan

Secara tuntasnya ingin saya tegaskan bahawa semua tindakan saya adalah berdasarkan:

• Sebagaimana dinyatakan dalam Seksyen 16 Akta Bank Rakyat (Peruntukan Khas) 1978 menteri mempunyai kuasa untuk membuat keputusan.

• Keputusan yang terbaik untuk pemegang saham berdasarkan keadaan yang dihadapi dan diterima pandangan dan nasihat pihak pengurusan.

• Mengikut norma dan kebiasaan amalan industri.

• Membuat keputusan berdasarkan pulangan terbaik dalam satu transaksi perniagaan.

• Atas nasihat dan perbincangan dari pihak pengurusan bank dan tidak dibuat secara bersendirian.

• Mengikut lunas undang-undang yang sedia ada.

Persoalan mengenai pinjaman ini juga telah beberapa kali dijawab melalui kenyataan yang dikeluarkan oleh Bank sendiri dan juga jawapan balas dalam parlimen oleh Kementerian Kewangan.

Siasatan juga telah dibuat oleh Bank Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sebelum ini seperti yang telah dinyatakan dalam jawapan Parlimen dan kenyataan media yang diberikan oleh SPRM.

Semua keterangan telah diberikan termasuk dokumen-dokumen yang relevan juga telah diserahkan kepada SPRM dan Bank Negara mengenai isu ini.

Sekiranya ahli Parlimen Pandan mahu membuat laporan lanjutan atau tambahan kepada mana-mana pihak bertanggungjawab itu terpulang kepada beliau, saya tiada masalah untuk membantu siasatan, memberi keterangan apatah lagi sekiranya ia membantu membersihkan nama saya.

Saya teguh dengan pendirian bahawa semua tindakan yang dibuat oleh saya dan pihak bank adalah berpandukan kepada yang terbaik buat pemegang saham, berdasarkan lunas undang-undang dan mengikut norma industri perbankan.

DATUK SERI HASAN MALEK menteri perdagangan dalam negeri, koperasi dan kepenggunaan.

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .